“Ibu…”
Fatimah memandang
Zahrah. Anaknya hendak apa pula. Muka tu macam orang gelisah saja. Dia perasan
anaknya memandang ke tingkat atas. Ada apa pula di tingkat atas? Hairan!
“Ada apa?”
“Zahrah nak naik atas
sekejap.”
“Nak buat apa pulak?
Tolong ibu dekat dapur ni. Jangan asyik nak mengelak aje. Biar badan tu
keluarkan peluh. Sihat sikit badan tu.”
Zahrah sudah buat muka
kelatnya.
“Ish! Ibu ni. Ke situ
pulak.”
“Habis tu? Cuba beritahu
ibu, ada apa dekat atas tu. Kamu nak buat apa? Asyik nak duduk dekat atas aje.
Tak tengok TV, tidur. Itu ajelah kerja kamu kan. Dah berkahwin pun, perangai tu
tak berubah langsung.”
“Bukanlah. Zahrah…”
“Tak payah nak tipu ibu.
Macamlah ibu tak kenal kamu ni.”
“Zahrah nak ke atas
bersebab.”
Tubuh Fatimah menoleh ke
belakang. Bersebab? Sebab apa pula ni. Dia perasan anaknya bermain jari. Dia
pelik pula. Macam hal penting aje.
“Hah! Sebab apa?”
“Suami Zahrah lah.”
“Kenapa dengan suami
kamu?”
“Dulu ibu sendiri cakap,
jadi isteri tu kena prihatin kepada suami. Selalu ambil berat pasal suami.
Selalu utamakan suami. Sayangkan suami. Syurga isteri terletak di telapak kaki
suami. Jadi sekarang ni, Zahrah nak tengok dia buat apa dekat atas tu. Tanya
khabar ke, apa ke. Manalah tahu dia nak air. Zahrah boleh tolong buatkan.
Zahrah tak naklah ibu pandang serong aje dekat Zahrah.”
Zahrah tersenyum nipis.
Pandai pula dia mereka ayat. Takkan skema jawapan kut. Dia curi-curi memandang
ke atas. Suaminya buat apalah ketika
itu. Entah kenapa dia mahu mengetahui keadaan suaminya. Dah macam isteri
misalilah pula. Lagi pun, dia mahukan kebenaran di sebalik kata-kata Faizul.
Lelaki itu mahukan kehidupan yang baru. Jadi dia mahu memulakan strategi. Dia
akan mengambil berat tentang lelaki itu. Dia ingin tahu bagaimana layanan yang
sebenar diberikan kepadanya.
“Seorang isteri yang
baik akan disayangi suami.” Sambungnya lagi.
“Yalah. Ada ajekan akal
kamu tu?”
Zahrah tersengih kecil.
Kalau bab bagi alasan memang nombor satu.
“Pergilah sana. Kalau
tak ada kerja, turun ke dapur. Tolong ibu.”
Zahrah masih tersengih
dan mengangguk perlahan. Fatimah terus menyambung kembali kerja yang tergendala
tadi. Geram pula dengan kata-kata anaknya itu. Ada saja hal yang nak
dijawabnya.
“Zahrah naik atas dulu
ya, bu?”
“Okay.
Pergilah. Jaga suami kamu tu elok-elok.”
Pantas aje Zahrah
mengatur langkah ke tingkat atas. Dalam langkah yang diatur, tiba-tiba rasa
berdebar di hati. Ruang tamu kosong. Tak
ada orang. Ayahnya tiada. Faizul? Tak
ada juga. Zahrah sudah mula rasa pelik. Ke mana pula suaminya pergi?
Takkan berada di luar rumah pulak. Leher dipanjangkan ke hadapan. Langkah
terhenti. Mata terpaku di ruang sebelah
kiri ruang tamu. Di sofa.
Faizul tidur dengan
lena. Angin kipas yang berlegar di udara membuatkan rambut si Faizul sedikit berterbangan. Dia terpaku sekejap melihat
keindahan yang satu itu. Langkahnya disambung kembali dengan perlahan. Takut
pula kehadirannya itu nanti menyedarkan Faizul yang sedang tidur lena.
Tiba sahaja di sisi
Faizul, wajah Faizul menjadi mangsa renungannya. Boleh tahan juga dia ni. Handsome juga dia
ni. Bisik hatinya.
Zahrah mula melabuhkan
punggung di lantai. Ketika itu, limpahan rasa kasih sayang Zahrah terhadap
Faizul melimpah ruah. Tangannya terhenti untuk memegang tangan lelaki itu.
Aku tahu dia ni memang
seorang lelaki yang baik. Aku tak boleh nak layan dia dengan teruk. Dia suami
aku. Aku ni isteri dia. Apa saja yang aku buat, dia kena tempiasnya. Dia
tanggung dosa aku. Aku ni tanggungjawab dia.
Takkan aku sanggup menyakiti hati
dia? Bisik hatinya lagi.
Zahrah mula tertunduk
sedikit.
“Kamu tak suka?” soal
Puan Hafizah.
“Takkan saya nak kahwin
dengan anak auntie pulak.” Ujar Zahrah. Dia tidak suka masuk ke perbincangan
yang tidak dipinta. Dia akan mempertahankan. Dia takkan berkahwin apatahlagi di
usia muda. Dia tidak puas lagi untuk bermanja dengan ibu dan ayah.
“Kamu tak sudi?” soal
Puan Hafizah perlahan.
“Bukan macam tu. Saya…”
“Habis tu apa? Anak
auntie tak cukup baik untuk kamu?”
Zahrah menggeleng
perlahan.
“Dia bukan citarasa
kamu?” soal seorang ibu lagi.
“Auntie dengar dulu apa
yang saya nak cakap. Boleh?”
Puan Hafizah mengangguk.
Risau pula Faizul ketika itu. Sejak tadi, asyik saja perempuan itu hendak
membantah. Tidak mahu berkahwin dengannya. Tak cukup ke apa yang terjadi selama
ini?
Kemesraan?
Kegembiraan?
Gurau senda?
Dia merasakan itu sudah
cukup. Dia bahagia dengan perempuan itu. Apa yang dia mengharapkan ketika itu
adalah Zahrah boleh menerimanya. Dia takkan melepaskan perempuan itu pergi ke
lelaki lain. Dia akan berbuat apa saja supaya perempuan itu jatuh ke tangannya.
Bukan dengan cara jahat tapi cara baik. Tapi apa?
“Semua ni terjadi secara
tiba-tiba. Selama ni saya tak pernah jumpa dengan anak auntie. Kami berbual di
facebook aje. Saya tak sangkalah pula apabila saya berjumpa aje dengan anak
auntie hari ni, terjadi macam ni pulak. Hal kahwin bukan main-main. Berkahwin
biarlah sekali dalam seumur hidup.”
“Saya serius dengan
awak. Tolonglah terima saya.” Celah Faizul.
“Apa jaminan untuk saya
yang saya bahagia dengan awak?” soal Zahrah.
Faizul terdiam. Raut
wajahnya bertukar pucat. Jaminan? Dia memandang wajah mama pula. Puan Hafizah
tidak beri sebarang respons. Dia hendak cakap apa? Takkan hendak cakap apa yang
dia miliki menjaminkan kebahagiaan? Duit? Harta benda? Teramat pasti Zahrah
akan melenting. Dia yakin yang perempuan itu bukan seorang yang materialistik.
Zahrah memandang Puan
Hafizah kembali.
“Maaf auntie. Saya memang
tak boleh.”
“Auntie boleh beri kamu
peluang.”
“Peluang untuk apa? Nak
tahu yang saya ni mata duitan atau tak?”
Berani sungguh Zahrah
berkata begitu. Puan Hafizah dan Faizul terkejut. Mereka berdua macam tidak
percaya saja apa yang dia dengari tadi.
Faizul memandang mamanya. Masing-masing tidak tahu hendak bercakap apa.
“Saya tahu saya ni tak
kaya macam auntie. Jujur saya cakap saya ni datang dari keluarga yang
sederhana. Hidup dekat kampung. Tak ada
rumah besar macam rumah auntie. Rumah kami biasa aje. Taklah seteruk atap bocor
sampai air hujan boleh masuk. Saya ada maruah diri. Kalau auntie anggap saya ni
perempuan mata duitan, auntie silap. Faizul, awak silap.” Dia memandang lelaki
itu pula.
Faizul tertelan liur.
“Saya selesa dan
bersyukur dengan hidup saya sekarang. Ibu dan ayah saya beri didikan agama yang
cukup. Saya tak naklah jadi macam dalam drama TV tu. Nampak lelaki kaya aje
terus menggedik tak tentu pasal. Nak kikis duit lelaki tu. Sorrylah. Saya rasa
awak patut cari perempuan lain. I’m not
your choice.”
Zahrah bingkas bangun.
Dia tidak layak berada di situ. Dia berharap sangat detik itu kali pertama dan
kali terakhir masuk ke rumah orang kaya. Dia tidak mahu ada bersangkut paut lagi
dengan orang kaya. Kalau dia hendak mencari calon suami pun, biarlah latar
belakang itu dari golongan yang sederhana.
Puan Hafizah dan Faizul
terkejut. Takkan perempuan itu hendak balik pula.
“Saya balik dulu.
Assalamualaikum.”
Baru saja hendak
mengatur langkah,
“Tunggu! Auntie tak
suruh pun kamu balik pun.” Panggil Puan Hafizah dengan nada tenang. Dia masih
berasa terkejut dengan apa yang didengarinya tadi. Dia tahu yang perempuan muda
itu tidak berniat hendak berlaku kurang ajar tapi dia hormat terhadap insan
tersebut. Sudahlah berpakaian sopan, tingkah laku yang menyenangkan, dan
seorang yang cantik.
Langkah Zahrah terhenti.
Faizul memandang mamanya kembali.
“Duduk. Auntie tak habis
lagi hendak bercakap dengan kamu.”
Zahrah terpaksa akur.
Mahu atau tidak, dia berlalu ke tempat tadi dan duduk di sofa lembut itu. Dia
sedikit tertunduk. Mungkin ke berlaku biadab tadi? Rasa bersalah pula. Dia
tidak berniat pun bertindak macam tu tapi dia memang tidak suka berkahwin di
usia muda. Belum tiba masanya lagi.
“Auntie memang rasa
kagum dengan kamu.”
Zahrah pantas mendongak
memandang wajah wanita itu. Kagum? Apa maksud wanita berusia itu?
“Saya tak faham.”
“Auntie memang tak kisah
siapa pilihan anak auntie. Auntie terima aje dengan ikhlas. Auntie tahu pilihan
anak auntie memang tepat dan takkan
mengecewakan auntie. Auntie kenal sangat siapa anak auntie yang
sebenarnya.” Ujar Puan Hafizah tersenyum.
“Maksud auntie?” soal
Zahrah, tidak faham.
“Hah! Awak…”
Suara Faizul mula
kedengaran. Kuat pula tu. Terperanjat Zahrah dibuatnya. Zahrah terus memandang Faizul. Suka hati aje
buat dia terkejut. Nak kena ketuk ke apa kepala tu. Dia mengurut dada. Berderau
darahnya.
“Apa?”
“You are the best candidate to be my wife. I love you so much.”
“Hah?”
“Tolong jangan tinggalkan
saya. Please…”
“Apa awak merepek ni?
Saya…”
“I love you. Saya tak nak perempuan lain. Saya nak awak aje.”
Faizul cepat-cepat
mengalihkan pandangan ke muka puan Hafizah.
“Ma. Zahrah inilah bakal
isteri Faizul. Pasti! Bakal menantu, mama. Cantikkan?”
“Memang cantik. Pandai
kamu mencari.”
“Faizul takkan kecewakan
mama.”
“Mama tahu tu.”
Faizul
tersenyum nipis. Semakin melebar senyuman puan Hafizah. Zahrah yang
mendengarnya sedikit terkejut. Bakal menantu? Dirinya bakal menjadi isteri kepada lelaki itu? Takkan tak faham kut apa yang dia
cakap tadi?
“Saya tak nak kahwin.”
“Saya akan buat awak
berkahwin dengan saya.”
“What?”
“I will show my true love to you.”
“Welcome to the family mama, sayang.”
Apa semua ni? Zahrah
mulai pening. Keadaan yang tegang tadi bertukar menjadi kelakar. Kelakar? Ya!
Ini memang kelakar. Lelaki dan mamanya
itu betul ke tidak? Apa yang didengarinya tadi seolah-olah dia bersetuju saja
hendak berkahwin dengan anaknya.
Welcome to the family?
Mama?
Rasa nak pitam aje.
“Minggu depan mama akan
hantar rombongan meminang. Bersiap sedia ya? Mama tak sabar nak ada menantu. Faizul
inilah satu-satunya anak aunty. Zahrah takkan rugi ada Faizul dalam hidup
Zahrah. Zahrah takkan menyesal. Percayalah cakap mama. Mama percaya yang kamu
bukan mata duitan.” Yakin puan Hafizah.
Rombongan meminang?
Zahrah terkedu. Kejutan
apa pula ni? Minggu depan? Aduh! Macam manalah dia hendak bercakap dengan ibu
dan ayah nanti. Kalau dia tak bercakap nanti, alih-alih muncul aje di rumahnya
nanti. Mesti ibu dan ayah terkejut besar. Dia memandang Faizul. Faizul hanya
tersengih kecil.
“This is my answer just now.” Perlahan saja tuturan kata si Faizul.
Jawapan?
Zahrah buntu. Dia tidak
boleh fikir. Satu keluhan berat dilepaskan. Kahwin dalam usia muda? Tidakkk!!!
“Kita bercinta selepas
kahwin. A beautiful moment. I will make you
feel happy.” Ujar Faizul lagi dengan lembut.
Tanpa sedar, Zahrah
sudah melabuhkan kepalanya di lengan Faizul. Asyik sangat teringat kisah lama,
tak sedar dengan tingkahnya itu. Wajah Zahrah sugul. Macam orang berada dalam
kesedihan aje. Ini ke yang dinamakan bercinta selepas kahwin?
Sebaik saja tiba di
kampung yang lepas, suaminya asyik saja mencuri perhatiannya. Ada saja tingkah
lelaki itu yang hendak dilihat. Buat ketupat? Salah satunya yang membuatkan
hatinya berasa gembira.
Dia mengeluh pula. Hendak
merungut pun, hanya sia-sia saja. Mahu atau tidak Zahrah kena menerima Faizul
Arman sebagai suaminya dalam erti kata yang sebenar. Semasa acara merisik pun,
Zahrah tidak membantah. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa, dia tak nak
membantah apa yang terjadi. Dia hanya merelakan semua itu terjadi sehingga
lafaz nikah terucap di bibir Faizul. Ya! Zahrah menginginkan lafaz nikah
diucapkan oleh seorang lelaki dan bukan dua atau tiga orang lelaki. Memang tak
disangka lelaki itu adalah Faizul. Dia mendongak sedikit melihat muka lelaki
itu lalu tersenyum nipis.
Zahrah berasa kasihan juga
terhadap Faizul. Setelah penat mengait kelapa, parut kelapa, lepas tu mengemas
pula di halaman rumah. Daun-daun kering habis dibersihkannya. Pasu-pasu bunga
disusun elok. Nampak kemas dan memberi kelainan sedikit. Zahrah yang melihatnya
pun sedikit terkejut. Pandai juga si Faizul dalam bab mengemas. Tekun dalam
membuat kerja.
Tabik spring!
Faizul tersedar dari
tidur. Matanya terkebil-kebil memandang Zahrah. Zahrah terkejut. Kantoi sudah
dia melihat lelaki itu. Faizul mula pelik. Perempuan itu buat apa pula di situ?
Dia melihat lengannya pula. Tangan perempuan itu menghempap tangannya.
“Rindu saya ya?”
“Eeii!! Perasan!”
“Habis tu awak buat apa dekat
sini? Tengok saya pulak tu.”
“Muka suami sendiri
takkan tak boleh tengok kut.”
“Mestilah boleh.”
Faizul terus memeluk
bahu Zahrah. Mata Zahrah sedikit membulat. Kena peluk? Lagi? Lambat-lambat
segaris senyuman terukir di bibir Faizul. Faizul mengusap lembut di kepala Zahrah. Rasa kasih
dan sayangnya terhadap Zahrah tak pernah berkurang sedikit pun. Malah jika dia
tidak nampak Zahrah dalam sehari pun, rasa kasih sayangnya tidak pernah
tergugat.
“Awak nak apa?” soal
Faizul yang segak dengan pakaian t-shirt berkolar dan mengenakan seluar jean
berwarna biru yang ada carik-carik putih.
Memanglah mana-mana
perempuan yang melihat Faizul ketika itu, boleh jatuh hati. Sebentar tadi pun
ada beberapa mata memandang Faizul. Faizul hanya tersenyum nipis sahaja kepada
mereka. Mereka terpegun dengan ketampanan yang dimiliki oleh Faizul. Zahrah yang
melihatnya, rasa sakit hati pula dan hanya mampu dipendam. Kalau diikutkan
hati, dia mahu ketuk kepala semua perempuan tu.
Gatal!
Mata tak ada insurans!
Sekejap!
Zahrah cemburu? Cemburu
tanda sayang.
“Tak naklah. Awak beli
ajelah apa yang awak nak.” Balas Zahrah.
“Takkan tak nak apa-apa
kut.”
“Cuba jangan nak memaksa
saya. Boleh?”
Faizul tak terkata apa.
Dia memandang ke hadapan. Zahrah memang tidak suka pergi ke bazar. Dia tak suka
nak berhimpit-himpit dengan orang lain. Rimas dibuatnya. Lihat saja suasana
ketika itu, sudah pun menyesakkan mata. Ramai betul orang yang lalu
lalang. Belum lagi pada malam raya. Kalau malam raya, lagilah ramai orang yang
bertandang. Boleh pengsan dibuatnya.
“Takkan kita dah sampai
sini, awak tak nak beli apa-apa? Rugi tau! Cuba tengok tudung tu semua. Cantik
pun cantik. Suitable for you.” Pujuk Faizul.
Takkan dia seorang saja
yang hendak beli baju? Terasa macam tidak seronoklah pula. Biarlah sama-sama beli baju. Baru adil. Faizul
memeluk bahu Zahrah. Zahrah hanya membiarkan saja. Tak ada tanda dia hendak buka mulut. Macam malas
saja hendak melayan. Takkan tak faham bahasa kut apa yang dia cakapkan tadi.
Rasa seballah pula!
“Sayang pilih aje apa
yang sayang nak. Abang belanja sayang. Tak bestlah kalau sayang tak nak beli
apa-apa.” Bisik Faizul di tepi telinga Zahrah.
Zahrah segera memandang
wajah Faizul.
Sayang? Mulalah rasa
semacam. Bulu roma menegak. Dia sudah mula mengusap lengan.
“Apa awak cakap?”
soalnya.
“Saya cakap apa?”
“Cakaplah. Jangan buat tak tahu pulak.”
“Abang belanja.”
“Selepas belanja tu?”
Faizul terus tertelan
liur. Dia berpura-pura memandang sekeliling. Dia pun tak sedar apa yang dia
cakapkan tadi. Takkan isterinya hendak marah kut. Tapi bila tengok muka si
Zahrah, macam hendak makan orang aje.
“Cakaplah.”
“Lupakan ajelah. Tak
penting pun.”
Zahrah pegang tangan
Faizul. Faizul tersentak. Dia melihat tangan perempuan itu di tangannya. Renungan
macam harimau nak makan orang tu yang tak boleh tahan. Faham sangatlah tu apa
maksudnya. Dia mula tersengih kecil.
“Sayang?” perlahan aje
suara Faizul.
“Itu pun susah nak
cakap. Okay.”
Zahrah melepaskan tangan
lelaki itu. Suka pula dia mendengar perkataan sayang tu. Dia mengherot senyum
nipis. Faizul tercengang. Okay? Isterinya dah kenapa? Takkan itu aje kut
jawabnya. Belum sempat dia hendak membuka mulut, Zahrah mencelah lagi.
“Satu aje saya nak tanya
awak.” Ujar Zahrah.
“Apa dia?”
“Awak boleh ke nak beli
baju, seluar, dekat tempat macam ni? Bukan ke awak suka beli dekat shopping complex, butik. I know your taste. Macamlah saya tak
kenal orang macam awak ni. Nak kualiti yang baik.”
“Sayang dah silap.”
“Silap?”
“Tak semestinya abang
akan pergi ke tempat tu semua. Ya! Memang abang suka beli dekat sana tapi dekat
tempat macam ni juga ada yang menarik. Apa yang penting, kita kena bijak
memilih. Untuk pengetahuan sayang, setiap tahun, abang dan mama akan pergi ke
jalan TAR untuk beli persiapan raya. Jadi, tempat macam ni tak mendatangkan
masalah pun dekat abang. Kalau tak ada
yang berkenan, tak payah beli. Senangkan?”
Zahrah diam. Dia macam
susah pula hendak percaya apa yang diperkatakan oleh Faizul. Manalah tahu apa
yang dikatakan oleh Faizul sekadar untuk menyedapkan hati dia. Tapi…
Wajah lelaki itu masih
diamati.
“Awak… jom pergi bazar.
Kita cari apa yang patut. Raya dah nak dekat.”
“Bazar?”
“Yalah. Dah! Jom!”
Masih teringat lagi
ajakan suaminya di rumah tadi. Zahrah mula terfikir. Kalau si Faizul
mengajaknya pergi bazar, itu bermakna apa yang dikatakan oleh Faizul tadi betul?
Mulalah dia menyoal akal. Nak percaya atau tidak. Taste suaminya macam orang lain juga. Suka pergi ke bazar. Tak
kisah bersesak dengan orang ramai. Agaknya orang kaya lain macam suaminya juga
ke? Soal hatinya.
“Sayang….” Pipi Zahrah
dielus oleh Faizul.
Zahrah tersentak.
“Fikir apa?” soal
Faizul.
“Tak ada apa.” Geleng Zahrah perlahan sambil
tersenyum pahit.
“Betul ni?”
Zahrah mengangguk pula.
“Sayang tak sihat ke?”
“Saya okay aje. Awak
jangan risaulah. Awak beli ajelah apa yang awak nak. Saya cuma temankan awak aje.
Anggap aje saya keluar dengan awak malam ni, adalah satu tanggungjawab isteri
kepada suami dia. Bila-bila aje awak perlukan saya, saya bersedia untuk awak.
Tempat seorang isteri berada di sisi suami dia..” Ujar Zahrah.
“Ala… tak bestlah macam
ni.”
“Best apa. Saya kan ada
dengan awak.”
“Rasa best tu sikit aje.
Kalau awak beli barang, lagi best.”
“Nak pujuk sayalah ni?”
“Lebih kuranglah.”
Tersengih.
Zahrah tersenyum nipis.
Orang mula ramai. Apa yang difikirkan oleh Zahrah ketika itu adalah untuk
berada di sisi Faizul aje. Takut pula berpisah dengan Faizul nanti. Tak
pasal-pasal nanti, menjenuh dia nak mencari lelaki itu. Keluasan bazar tu
bukannya kecil tapi besar. Penat nak menapak.
“Awak ikut saya.” Faizul
terus menarik tangan Zahrah supaya mengikutinya.
Zahrah yang sedikit
terkejut, hanya mengikut saja. Faizul mula memasuki ke gerai yang menjual
tudung. Apa yang ada di dalam gerai itu semuanya menjual tudung. Rambang mata
pula dibuatnya. Tudung yang berada di situ semuanya cantik-cantik. Tak tahu
hendak pilih yang mana. Dia beranggapan, kalau Zahrah memakainya, mesti
bertambah cantik.
Satu persatu tudung
diambil lalu diberi kepada isterinya. Zahrah hanya menurut saja. Dah macam duta
tudunglah pula. Hendak mencuba aje pelbagai jenis tudung. Rasa rimas si Zahrah ditahan sajalah demi
menjaga hati suami. Tak sanggup pula hendak menghapuskan senyuman di bibir
lelaki itu.
Tiba sahaja Zahrah dan
Faizul di kedai makan, Zahrah asyik saja memerhati barang-barang yang dibeli oleh Faizul. Ingat
dia ni patung dekat kedai baju ke apa. Macam-macam Faizul beli untuknya.
Pelbagai jenis warna tudung. Baju kurung tiga pasang.
Kasut?
Kata Faizul, dia
tak ada yang perkenan. Beli di tempat
lain saja. Katanya lagi dia mahu yang terbaik untuknya. Zahrah beranggapan…
Shopping complex lah tu. Memanglah mamat ni tak boleh dipisahkan
dengan tempat yang macam tu. Orang kaya memang macam tu. Tempat yang ada standard
katanya. Bisik hati pula.
“Awak tak rasa membazir
ke?” soal Zahrah.
“Membazir? Kenapa awak
cakap macam tu pulak? Mana ada banyak.”
“Awak cakap tak banyak?
Banyak tau tak awak beli untuk saya.”
“Alaaa… bukannya
selalu.”
“Saya tak sukalah awak
membazir macam ni.”
“Saya tanya awak nak
apa, awak tak nak cakap. Jadi saya beli yang mana sesuai dengan awak. Saya
yakin sangat apa yang saya beli ni, memang sesuai sangat dekat awak. Seratus
persen tau!” Faizul tersenyum nipis.
Zahrah mula menongkat
dagu. Wajah Faizul masih dilihat.
“Kenapa awak tengok saya
macam tu? Rindu?” teka Faizul.
“Jangan nak merepeklah.”
Bagi Faizul, dia
sentiasa merindui Zahrah. Tak kisahlah berada di depan mata atau tidak, rasa
rindu itu tetap ada. Jika dah sayang, rindu turut bersatu. Kalau dah bersatu,
nak berenggang walau sekejap, memang tak boleh. Asyik teringat saja si cinta
hati. Amboi! Melampau betul sampai tak boleh nak berenggang.
“Tak nak mengakulah tu
kan? Tak baik tau menipu diri sendiri.”
“Eh! Ke situ pulak.”
“Kalau betul, apa
salahnya kan? Zahrah isteri abang. Abang suami Zahrah. Mestilah kena ada
rindu-rindu tu semua. We became closer.”
Zahrah hanya mencebik.
Terus hinggap satu cubitan lembut di pipi Zahrah. Rapatlah sangatkan. Dia mula
terfikir kenapa sejak menjak dia asyik saja rindu terhadap lelaki itu? Dia pun
bingung. Kalau dulu, tak adalah sangat.
Ini setiap minit asyik saja rasa rindu.
“Pipi saya ni memang
tempat cubit awak kan?”
“Mestilah. Itu tandanya
saya sayang dan cinta dekat awak.” Balas Faizul senang.
Zahrah yang
mendengarnya, tergamam.
Sayang?
Cinta?
Lama-lama kalau Zahrah
mendengar ungkapan itu semua, boleh jadi minah gila cinta nanti. Kali ini,
apabila lelaki itu berkata sebegitu, Zahrah merasa sedikit bahagia.
Bahagia?
“Tak elok membazir. Lain
kali beli apa yang perlu aje.”
“Untuk isteri saya
sendiri, dikira membazir ke? Rasanya takkan?” soal Faizul pula seraya menongkat
dagu memandang Zahrah. Dia tersenyum nipis.
Gulp!
Wajah Zahrah berona
merah. Dia tersenyum kelat lalu memandang ke kanan. Terus lidahnya kelu untuk
berkata-kata. Alasan yang betul. Takkan untuk isteri sendiri dikira membazir
pula kan.
“Saya nak tanya awak,
sepanjang saya menjadi suami awak, pernah tak saya beli apa-apa untuk awak
selain pemberian cincin nikah saya tu untuk awak?” soal Faizul.
Zahrah terus melihat
Faizul. Diam. Memanglah tak ada. Dia pun
bukan jenis yang meminta. Kalau mahu pun, apa saja yang dia mahukan? Nak baju
baru? Kasut baru? Beg tangan baru? Rasanya tak perlu. Dia bukan orang yang
sentiasa bergaya. Bergaya dengan apa yang ada saja. Selagi tak nampak lusuh,
rosak, dia akan menggunakan sebaik mungkin.
Faizul memahami sangat
apa jawapan di sebalik pemberian raut wajah Zahrah ketika itu.
“Allah melarang umatnya
bersifat kedekut sehingga boleh menjejaskan imej seorang Muslim. Allah juga
melarang kita berbelanja di luar kawalan sehingga boleh menyebabkan pembaziran.
Sekali lagi saya tanya, awak rasa dengan apa yang saya beli ni, suatu
pembaziran ke? Saya beli mengikut kemampuan saya dan ianya untuk awak. Untuk
orang yang saya sayang.”
Zahrah tersengih kecil. Pandai
pula mamat ni cakap macam tu. Aku memang tak boleh baca fikiran dia. Aku belum
cukup kenal personaliti dia lagi. Sekali dia cakap hal-hal agama, memanglah aku
tak boleh nak cakap apa-apa. Nampak aje macam gila-gila kepala dia tapi orang
penuh ilmu di dada. Tabik 50 kali. Omel hati Zahrah.
“Awak… saya…”
“Jangan terlalu kedekut
dan jangan terlalu boros.” Pintas Faizul.
Diam.
“Awak fahamkan apa yang
saya cakap?”
“Macam faham.” Zahrah
tersengih kembali.
“Bukan ke kewajiban
seorang suami menyediakan kemudahan untuk si isteri? Bukan setakat kemudahan
untuk urusan harian, malah si suami akan
cuba memberi yang terbaik dari segala aspek untuk si isteri supaya apabila si
isteri hidup bersama dengan si suami, dia tidak akan rasa kekurangan. Ini
bergantung juga pada kemampuan dan ekonomi si suami tu.” Sambung Faizul lagi.
Faizul memegang erat
tangan Zahrah. Dikucup pula sedikit lama. Zahrah terpana. Rasa macam terlebih
bahagia kut. Elok saja bibir lelaki itu menyentuh tangan, angin berderu dengan
lembut. Rasa macam dalam drama TV aje. Ceh! Sahlah si Zahrah ni kaki drama TV.
“Saya sanggup buat apa
saja untuk awak. Awak adalah nyawa kedua saya.”
Wajah Zahrah mati dari
segaris senyuman. Dia masih melihat wajah Faizul. Mungkin dia masih terkejut
dengan apa yang berlaku. Bukan disebabkan lelaki itu sanggup berbuat apa saja
untuk dirinya tapi…
Satu hal baru yang harus
diterimanya.
Faizul bukan seorang
suami yang biasa tapi luar biasa. Dia tak menduga yang Faizul seorang suami
yang romantis. Lelaki itu melayannya seperti permaisuri.
“Awak kena ingat satu
perkara.”
“Apa dia?”
“Kita disunatkan
berpakaian cantik tetapi ramai yang menganggap cantik itu memerlukan
pembaharuan. Islam tidak melarang seseorang itu untuk bergaya dengan pakai yang
serba baru tetapi janganlah sampai terlalu boros berbelanja. Beli barang
mengikut keperluan dan bukan kehendak. Apa yang penting sekali, lihat pada
kemampuan diri kita sendiri. Duit boleh dicari tapi isteri macam sayang ni,
abang susah nak cari. Bayangkan abang dari Kuala Lumpur datang ke sini. Sayang ingat dekat ke?” Tak
habis lagi ujaran si Faizul.
Kata-kata Faizul
membuatkan Zahrah tertutup rapat kembali bibirnya. Dia semakin buntu untuk
berkata-kata. Idea tak ada. Takkan
lelaki itu hendak mengungkit pula.
Pembaharuan?
Memanglah gaya bahasa si
Faizul berada di taraf yang tinggi. Orang
berpendidikan tinggilah katakana. Zahrah mula yakin yang Faizul bukan
calang-calang orang. Bukan setakat lelaki bandar, pandai mengait kelapa, pandai
memarut kelapa tetapi dia boleh menjadi seorang pakar motivasi. Itu baru sikit
dia dengar, belum banyak lagi. Ya! Zahrah bagai berhadapan dengan seorang pakar
motivasi.
“Saya minta maaf.” Pinta
Zahrah perlahan.
“Sebab?”
“Pasal tadi.”
“Pasal apa?”
Geram pula Zahrah melihat
si Faizul. Dia mencubit lembut di lengan Faizul. Faizul menjerit kecil.
“Adui! Sakitlah.”
“Dah tahu, buat-buat tak
tahu pula. Sajalah tu nak kenakan saya.”
Faizul tersenyum nipis.
“Sama ada kesalahan awak
tu secara sengaja atau tak, pintu kemaafan saya selalu terbuka untuk awak.
Kemaafan saya bukan hanya untuk pada hari raya saja tapi pada setiap hari. Jadi
awak tak perlulah risau. Macam saya cakap dulu, saya akan cuba menjadi seorang
suami yang terbaik untuk awak.”
Pintu kemaafan selalu terbuka
untuk dia? Rasa terharu pula. Zahrah
sedikit tidak percaya. Baiknya lelaki yang bernama Faizul. Beruntung mendapat
lelaki begitu sebagai suami? Memang beruntung. Bukan sahaja lelaki itu baik dan
memahami malah dia seorang yang penyayang. Dia takkan membebani orang yang dia
sayang dengan sebarang dosa. Apa yang dia mahukan adalah…
Hidup dihujani dengan
rasa kebahagiaan. Ya Allah. Aku bersyukur Engkau menghadirkan dia dalam
hidupku. Dia memang kebahagiaanku. Ucap hati kecilnya.
“Allah telah berfirman
dalam Surah Al-Israa’ ayat 29 yang bermaksud, Dan janganlah kamu jadikan
tanganmu terbelenggu pada lehermu dan
janganlah kamu terlalu mengulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan
menyesal.”
Diam. Faham ke tidak
Zahrah oi! Bukan ke dia dalam bab macam tu lemah sikit. Kalau setakat bab-bab
akhlak memang dia tahu. Kalau tahu, kenapa masih nak berdingin aje dengan
suami? Tak baik. Tolonglah berubah wahai Zahrah
oi! Hargailah suami kau sementara dia masih ada. Kalau dia dah tak
ada nanti, baru kau menyesal. Jangan jadikan ilmu yang kau ada tu
seperti menggantung gambar di dinding. Takkan nak buat hiasan aje kut. Mulalah
dia bermonolog.
“Harap awak faham.”
Faizul masih tersenyum nipis.
Zahrah menggangung
perlahan.
“Awak jangan risau,
untuk ibu dan ayah awak, saya ada belikan sekali. Dua pasang baju melayu dan
dua pasang baju kurung. Cukup tak?” soal Faizul pula.
Zahrah yang
mendengarnya, terkejut.
“Dua pasang? Banyaknya.”
“Dua dikira banyak ke?”
“Bagi saya banyak.”
“Matematik awak memang fail. Dua awak cakap banyak? Hah! Ini
memang kelakar.” Dia terketawa kecil.
Zahrah tak terketawa
pula. Macam tak lawak aje apa yang dia dengari. Dia merasakan seperti anak yang
tidak berguna aje. Dia sebagai anak kandung kepada ibu bapanya, tidak pernah
pun hendak membeli apa-apa kepada mereka.
Tapi…
Wajah lelaki itu masih
dilihat. Menantu mereka pula yang membeli untuk mereka. Rasa bersalah tak
sudah. Memang patutlah ibu dan ayah sayang sangat terhadap suaminya. Faizul
pandai mengambil hati mereka.
“Bukan selalukan? Awak
anggap aje, apa yang saya beri untuk ibu dan ayah awak adalah suatu pemberian
ikhlas daripada saya. Awak doakan semoga hidup kita dimurahkan rezeki. Ada
rezeki lebih apa salahnya kalau kita berkongsi dengan orang lain. Betul tak? Lagi
pun, ibu dan ayah awak, ibu ayah saya juga. Macam mana awak sayang dekat
mereka, macam tulah juga gambaran sayang saya dekat mereka. Kita kenalah
menjadi seorang anak yang disukai dan disenangi oleh ibu bapa kita. Berbakti
kepada ibu bapa, insyaAllah syurga Allah bakal kita jejaki. Hidup kita akan
selalu diredhai.”
Faizul mengucup lembut
tangan Zahrah. Lagi? Zahrah kembali diam. Suka sangat buat jantungnya berentak
gila. Aduhai!
Masuk sahaja ke bilik,
Zahrah terdengar deringan telefon. Bukan telefon miliknya tapi…
Telefon milik Faizul. Anak
mata Zahrah sudah terarah di meja solek. Dia teringin hendak tahu siapa yang
menelefon suaminya pada malam itu. Mengacau saja ketenangannya. Belum sempat
Zahrah hendak menyambung langkah, pintu bilik dikuak dari luar.
Zahrah sedikit terkejut.
Dia memberi laluan kepada Faizul. Faizul hanya tersenyum saja kepada Zahrah.
Zahrah membalas dengan segaris senyuman nipis. Nampak sangat panggilan telefon
tu penting. Kelam kabut aje dibuatnya.
“Hello…” sapa Faizul
setelah menjawab panggilan tersebut.
Tubuh Faizul masih
dilihat oleh Zahrah. Dia mahu tahu siapa gerangan yang menelefon Faizul.
Jikalau perempuan?
Zahrah sudah mula
berfikir macam-macam. Dia sedar, lelaki itu mempunyai nilai kekacakan yang
tinggi. Mana-mana perempuan yang melihat Faizul, pasti akan terpikat dan
tergoda. Dia menggeleng perlahan.
Takkan cemburu kut?
“Mestilah Faizul sayang.
I always love you so much.” Faizul
terus berlalu dari situ. Sempat lagi dia menghadiahkan sekuntum senyuman kepada
Zahrah yang berada di sisi katil. Lelaki itu hilang di sebalik daun pintu.
Sayang?
Mulalah Zahrah hendak
mengamuk. Siapa insan tersebut? Terus membulat mata dia mendengar ungkapan
sayang yang keluar dari mulut Faizul. Zahrah mula mengiyakan tanggapannya
sebentar tadi.
Ya!
Faizul ada perempuan
lain. Takkanlah! Zahrah terduduk di birai katil. Termenung. Air mata mula
bergenang di tubir mata. Tinggal menunggu detik untuk tumpah ke muka. Dia
termanggu.