Tuesday, April 21, 2015

Bab 1 - Awak Milik Saya


                        Klik!
                        Klik!
                        Wazrul kerjanya asyik tangkap gambar aje. Tak boleh nak buat kerja lain. Kalau sehari tak tangkap gambar, memang tak lengkap hidupnya. Kadang-kadang sampai fikir nak tangkap gambar apa. Buntu! Dia  dengan kamera canon miliknya tak boleh berpisah langsung. Asyik nak berkepit aje. Inilah namanya jodoh dengan canon.
                        Aduhai!
                        Inilah hidup mat photographer.
                        “Kalau tangkap gambar perempuan kan best. Mata ni segar sikit. Cantik! Lemah lembut! Sopan santun! Apa yang paling penting….” Wazrul mula bebel sendirian. Dia mula naik tangga. Apa yang dia belek dengan kameranya pun tidak tahu. Nampak berkilat aje. “Dia ada senyum yang menawan. Bila tengok aje, terus buat hati aku ni tergoda dan jatuh hati.” Dia tertunduk dan senyum sendirian.
                        “Perempuan?” geleng perlahan.
                        Bukan tak suka terhadap perempuan tapi…
                        “Aku ni nampak perempuan pun, tunduk aje. Malu! Kalau belakang perempuan kembang semacam, depan perempuan menguncup. Tak tahu kenapa. Haih! Sampai bila nak macam ni pun tak tahu. Kahwin ke tak aku ni.” Satu keluhan berat dilepaskan.
                        “Jadi berani sikit Wazrul oi!” bisik satu suara.
                        “Dah cuba tapi tak boleh.”
                        “Jadi photographer kena berani. Tak boleh nak takut.”
                        “Aku berani pun sekejap aje.”
                        “Memanglah kau takkan berkahwin.”
                        “Choi! Aku akan berkahwin juga. Mesti ada perempuan nakkan aku.”
                        Lelaki mana yang tak nak berkahwin. Nak ada isteri dan anak. Anak itulah penyambung keturunan. Manalah tahunya anaknya boleh mewarisi bakatnya. Menjadi seorang photographer yang terkenal dan berjaya. Masuk majalah atau TV, dah kira beruntung. Photographer ada nama. Orang pandang tinggi. Tiba sahaja di tingkat atas, dia terus menuju ke bilik bos. Dia macam biasa. Walaupun langkah yang diatur tampak lemah, lelaki itu cuba berlagak kuat.
                        “Bos.”
                        “Dah kenapa?”
                        “Hari ni bos nak suruh saya buat apa pulak?”
                        “Macam biasalah. Saya nak kamu guna kreativiti kamu sendiri.”
                        “Saya manalah tahu. Otak ni dah tak boleh fikirlah bos.”
                        “Macam tu pulak!”
                        “Idea tak ada. Hari ni otak tak boleh proses.”
                        Geleng kepala si Saiful. Insan yang bernama Wazrul, tu dah kenapa? Tak ada mood pula. Macam pelik aje. Biasanya setiap pagi cergas saja tapi pada pagi itu mood macam ke laut aje. Takkan sakit pula kut. Rambut tersisir rapi. Mata tak sembab. Kalau sembab memanglah tak cukup tidur.
                        “Sihat ke tak ni? Kalau tak sihat, ambil MC aje.” Ujar si Saiful.
                        “Sihatlah bos. Macamlah bos tak kenal saya. Saya mana suka cuti.”
                        “Hari ini saya tak kenal kamu. Kamu lain sangat!”
                        “Apa yang lainnya? Saya biasa ajelah.” Wazrul mendongak.
                        “Hari ini kami memang lain. Serius saya katakan.”
                        Saiful duduk di kerusi. Wazrul di hadapan mejanya. Fail yang berada di atas meja tersusun rapi. Macam biasa setiap pagi Saiful akan mengemas meja. Biar nampak kemas. Mata pun tak sakit memandang. Bila hati tenang, nak buat apa pun boleh. Nak mesej dengan kekasih hati pun boleh. Senyum meleret saja.
                        Erk!
                        Lagi tiga bulan nak bertunang.
                        “Kamu sakitkan?” soal si Saiful.
                        “Mana ada. Saya…”
                        “Jangan nak tipu sayalah. Awak bekerja dengan saya bukannya sekejap. Saya dah faham sangat  perangai kamu macam mana. Kamu tu bukan setakat photographer untuk syarikat saya ni tapi saya dah anggap kamu ni seperti kawan saya. Saya ambil berat pasal kamu dan kakitangan lain. Kalau betul tak sihat, ambil cuti. Hari ni tak payah kerja.”
                        “Saya cuma pening kepala aje.”
                        “Dah! Pergi ambil cuti. Dah sakit kepala, nak buat kerja apa pun tak boleh. Kalau buat juga, tak boleh fokus. Setiap hasil kerja kamu, saya nak yang terbaik. Semua orang kenal kamu dan tahu hasil kerja kamu macam mana. Jangan sesekali mengecewakan saya!”
                        Wazrul tak suka ambil cuti melainkan dia hendak berbuat sesuatu yang penting saja. Sakit boleh diatasi. Tak boleh nak manjakan sangat badan. Kalau dah berehat mulalah rasa malas. Itu yang dia tak suka. Dia nak jadi seorang yang rajin. Rajin membuahkan hasil. Kalau malas membuahkan…
                        Anak-anak pemalas!
                        “Bos janganlah risau. Saya ni kan kuat. Saya takkan pengsan punya. Saya boleh buat kerja lagi. Lagi pun, saya mana boleh duduk diam. Ada aje benda yang saya nak buat. Kalau saya terasa nak cuti, saya cuti. Okay?”
                        “Yalah tu. Risau pulak saya dengan kamu  ni.”
                        “Risau tu simpan dulu dalam laci meja bos tu. Apa plan hari ni?”
                        “Saya?”
                        “Bukan bos tapi saya.”
                        Saiful tak faham. Dia mula berkerut dahi. Plan apa pula? Baru masuk kerja dah kena fikir pasal plan. Semalam dia ada cakap apa-apa ke kepada Wazrul? Dia mula memikir. Setahunya tiada. Semalam lelaki itu bertugas di luar. Masuk pejabat pun pada waktu pagi. Itu pun sekejap. Wazrul menggeleng.
                        “Bos tak payahlah nak berkerut dahi macam tu. Bos tak fahamlah ni?”
                        “Plan apa?”
                        “Ish bos ni! Lupalah tu! Hari ni saya nak tangkap gambar apa?”
                        “Oh…Entahlah. Macam tak  ada job.”
                        “Tak  ada? Baguslah. Tak adalah saya nak berjemur panas. Lega!”
                        Saiful mula berfikir sesuatu. Takkan tak ada kerja pula kut. macam ada. Dahinya mula berkerut kembali. Setahunya semalam ada orang datang ke pejabat. Minta buat sesuatu tapi apakah benda itu? Aduh! Kuat lupa betul! Dia mengetuk kepala perlahan. Wazrul yang melihatnya malas nak ambil tahu. Dia membelek kamera canon di tangan. Tiup pula. Ada habuk melekat.
                        “Hah!”
                        “Bos nak makan apa?”
                        Melatah pula si Wazrul. Geram pula dia melihat Saiful. Dia mengurut dada perlahan. Hendak saja dia hempuk kepala bosnya itu dengan fail di atas meja itu. Saiful hanya tersengih saja. Ingatkan perempuan saja yang kuat melatah, lelaki pun ada yang melatah.
                        “Macamlah kamu tak kenal sayakan…”
                        “Nasib baik saya tak pergi KPJ.”
                        “Sorry… sorry. Kami ada kerja hari ni.”
                        “Laaa… kata  tak  ada. Baru nak rest.”
                        “Saya baru teringat. Kalau kita tak ambil job ni, memang rugi.”
                        Wazrul mengeluh. Terpaksalah dia buat kerja sebentar lagi. Bosnya suka sangat bagi harapan palsu. Lain kali fikir betul-betul ada kerja atau tidak. Saiful buka fail hitam. Dia hendak semak butiran yang ada di situ supaya tidak silap. Nampaknya kerja kali itu tidak susah pun. Tak susah tapi berharga.
                        “Kamu kena tangkap gambar bunga.” Pinta si Saiful.
                        “Hah? Bunga?”
                        “Kamu jangan risau. Ambil masa kamu dalam sebulan ni. Cari bunga yang menarik dan position yang bagus. Saya tahu kemampuan kamu. Lagi pun gambar tu  nak letak dalam majalah. Kalau kamu buat dengan baik, nama syarikat kita yang naik. Terkenal! Kamu pun turut terkenal. Apa yang penting, saya bagi bonus tiga bulan gaji kepada kamu. Okay?”
                        “Ini bukan masalah terkenal, pasal bonus tapi masalahnya saya.”
                        “Kamu? Ada masalah apa pulak?”
                        “Takkanlah… ish! Bos sendiri tahukan yang saya ni…”
                        “Anti dengan bunga?”
                        “Urm. Tahu pun!”
                        “Si  bedol Mail tu cuti hari ni. Kamulah yang kena buat.”
                        “Tunggu esok ajelah. Biar si bedol tu buat.”
                        “Dia cuti seminggu.”
                        Erk!
                        Wazrul terus tertelan liur. Sedikit terkejut! Memanglah si bedol tu hendak kena dengannya. Kenapa lelaki tu nak cuti dia tak tahu? Ish! Mesti nak kenakan dirinya. Jangan-jangan si Mail tu tahu tentang projek ini. Selepas tu mengelak. Dia pula yang kena. Dia mengeluh lagi. Sabar sajalah. Lagi pun jikalau lelaki itu beritahunya, mesti tak boleh cuti. Tapi kenapa tiba-tiba ambil cuti?
                        Pelik bin musyhkil!




                        “Masalah betul! Baru nak rilek hari ni. Choilah!”
                        Wazrul sudah menggeleng. Dah berapa kali geleng pun, tak terkira. Habis rosak rancangannya. Nak cari kasut tak jadi. Rancangannya yang satu itu ditangguh lagi. Berapa kali nak tangguh pun tak tahu.  Geram pula dia dengan si bedol a.k.a Mail Malik. Cuti tak beritahu pula tu. Siaplah lelaki itu apabila sudah naik kerja nanti. Kena belanja mee kari secret recipe.
                        “Bunga?”
                        Tabahkan hati. Tak suka bunga, dia kena suka. Keluh pula. Buntu!
                        “Aku nak tangkap gambar bunga apa pulak?”
                        “Bunga tahi ayam ajelah. Habis cerita.” Bisik satu suara.
                        “Ish! Gila ke  apa! Agak-agaklah.”
                        “Boleh apa. Cantik pun cantik.”
                        “Memanglah cantik tapi busuk. Kalau orang sekali pandang aje bunga tu, dah boleh agak nak cakap apa. Tup tup kalau orang berpemikiran jauh, orang tahu nilai seni tu apa, dapat tahu apa maksud penyampaian bunga tu.”
                        “Mulalah bahasa tu tahap tingkat empat. Choi!”
                        “Yalah. Contoh paling senang, orang. Luar nampak cantik tapi dalam… hampeh!”
                        “Bunga ada kaki tak nak?”
                        “Gila ke apa!”
                        “Apa salahnya kan?”
                        “Sekejap! Bunga ada kaki? Maksudnya?”
                        “Masuk simpang tiga dekat depan sana tu! Nanti dapat jawapan.”
                        Haih! Bunga ada kaki? Maksudnya? Otak Wazrul masih memikir. Bunga jenis apa pula tu? Kamera canon di tangan dilihat. Cari bunga lain. Idea masih tak  ada. Dia harus pergi ke mana? Takkan nak merayap di tepi jalan raya pula. Semata-mata nak cari bunga? Dia takkan berbuat begitu. Nanti orang kata tak betul pula. Sudahlah orang sudah mula kenal dirinya. Sebut sahaja nama Wazrul Aideen, berkulit putih, kening lebat, biji mata coklat, orang dah kenal. Dah macam artis lagaknya. Esoknya keluar surat khabar muka depan. Muka depan? Gila tak glamor!
                        “Apa kata kau pergi kedai bunga?” bisik suara itu lagi.
                        “Kedai bunga?”
                        “Di simpang tiga depan tu, ada kedai bunga. Try sana!”
                        “Itu bunga kertaslah. Aku nak bunga betul.”
                        “Carilah bunga yang dalam proses awet. Otak bagi berfungsi sikit, Wazrul oi!”
                        “Yek?”
                        “Kira untung aku bagi idea. Harap kau? Memang taklah.”
                        Wazrul mula mengusap dagu. Boleh pakai juga idea tu. Pergi ke kedai bunga tapi bunga apa aje yang ada? Dia mula berfikir lagi. Kalau setakat bunga mawar, matahari, pasti ada. Dia menggeleng pula. Bunga tu dah biasa tengok. Nak yang lain sikit. Jadilah jurugambar yang ada nilai. Kreatif!
                        “Apa kata kalau aku pergi nursery? Okay tak?” soalnya sendirian.
                        Dia beranggapan kalau pergi ke sana, boleh tengok pokok hidup di depan mata. Ada pelbagai jenis bunga. Tanam dalam pasu lagi. Salah satu bunga kesukaannya adalah bunga orkid. Di sana pasti ada pelbagai jenis bunga orkid. Dia suka bunga tulip juga tapi manalah ada dekat sana. Bunga tu ada di luar negara aje. Dia mengangguk dan mula memandang keadaan sekitar. Nasib baiklah dia sudah handal kawasan itu. Nursery yang terdekat bolehlah dia pergi. Tengok spesis bunga apa yang ada. Langkah mula diorak.
                        Sampai sahaja ke tempat yang dituju, langkah terhenti. Besarlah juga tempat tersebut. Dari luar pun, sudah nampak kelibat pokok bunga. Berkembang mekar pula tu. Dia ingat lagi kata-kata bos  tadi. Dia ada masa sebulan untuk mencari bunga yang menarik. Nak disiarkan dalam majalah, mestilah gambar yang menarik dan terbaik.
                        Langkah diatur masuk ke dalam. Dia tersenyum lebar. Sampai sahaja ke satu tempat di mana dipenuhi dengan bunga mawar, langkah terhenti. Dia terus tertelan liur. Mata tak berkelip. Cantik kut.
                        “Amazing!” ujarnya perlahan.
                        “Apa yang amazing nya tu?” Bisik suara itu lagi. Muncul tak sudah!
                        “Bungalah.”
                        “Bunga biasa atau yang luar biasa?”
                        “Entah. Apa yang penting, bunga tu menarik.”
                        “Kau tak nak petik?”
                        “Boleh ke?”
                        “Tak cuba kau tak tahu. Apa yang penting kau kena berani. Go wazrul!”
                        Mulalah Wazrul rasa semacam. Bunga tu terlampau cantik. Tak pernah nampak di tempat lain. Mulalah peluh menapak di dahi. Redup kut. Tak panas pun. Macam pelik aje. Jejak diatur sedikit perlahan. Kalau boleh nak lambat sampai. Nak tengok bunga tu puas-puas. Kamera di angkat ke atas. Sesi tangkap gambar bermula.
                        Klik!
                        Klik!
                        Klik!
                        Tiga gambar sudah siap diambil. Masih tak cukup. Biar banyak gambar diambil, nanti boleh pilih hasil yang terbaik. Semakin dekat. Akhirnya!
                        “Hello… miss?”
                        “Yes?”
                        “Can I know your name?”
                        “My name?”
                        “Yes.”
                        “For what?”

                        Gila ke  apa si Wazrul ni! Ini bunga apalah pulak. Takkan bunga boleh bercakap kut! Lain macam tu. Bunga ada rambut, hidung dan mulut? Serius cantik. Hati dah melekat, mulalah mata tak berkelip melihat. Inilah namanya bunga ada kaki.