“Assalamualaikum..” Ujar Edryka
sambil tangannya mengetuk pintu rumahnya.
Seorang
pembantu rumah Indonesia yang digelar bibik oleh keluarga Edryka menuju ke
pintu untuk melihat siapa yang memberi salam
lalu dibuka pintunya.
“Waalaikumussalam. Oh Non.
Jemput masuk.” Jawab bibik tersenyum.
Edryka
tersenyum melihat bibiknya itu.
“Bik,
Papa mana?” Tanya Edryka.
“Oh,
tuan di atas sedang menonton televisyen. Biasalah kalau waktu begini, tuan
tonton di atas. Apa itu. Ah.... yang ada banyak binatang tu. Urm.. Gekrapik.” Jawab
bibik sambil garu kepalanya yang tidak gatal.
“Bik, bukan begitu.
Bukan gekrapik tapi National Geographic lah.”balas Edryka tersenyum lagi.
“Tak kisahlah Non.
Gekrapik ke, apa kek, itu cerita ada banyak binatang. Seram bibik tengok. Oh
Non. Mahu bibik buatkan air? Milo?” soal bibik.
“Tak pa, bik. Saya mahu
pergi dekat papa dulu. Saya naik atas
dulu ya.” pinta Edryka.
“Okaylah, Non.” hanya
mengangguk.
Edryka berlalu dari situ
dengan senyuman yang menghiasi wajahnya. Geleng perlahan kepalanya dengan
gelagat orang gajinya itu. Dari moodnya yang suram terus saja ceria. Langkahnya
diatur macam pencuri je. Terhinjut-hinjut. Apa lagi nak beri kejutan dekat papa
dia lah tu. Anak tangga mula didakinya.
Bahagian dalaman rumahnya
memanglah teramat cantik. Rekaan yang
dibuat menyerlahkan lagi bahagian dalaman rumahnya itu. Kelihatan tampak mewah.
Dinding rumahnya berwarna coklat cair lembut. Kiranya langsir, sofa, permaidani
dan segala perhiasan berwarna sedemikian. kelihatan tenang persekitarannya. Ini
semua cita rasa isteri Datuk Sazali, iaitu Datin Azizah. Isterinya itu memang
berbakat dalam hiasan bahagian dalaman rumah.
“ Hai, pa!” Sergah Edryka
mengejutkan papanya. Papanya dipeluk dari belakang.
Kecut perut Datuk Sazali
dibuatnya. Berderau darah. Tarik nafas panjang lagi.
“Bertuah punya anak!
Bukannya nak bagi salam dulu, ini main sergah je.Terkejut papa. Anak papa ni
suka sangat buat macam ni kan! Kalau dah suka menerjah sangat, jadilah wartawan sana. Ganti Kiah propa Tv9
tu.” Ujar Datuk Sazali. Dadanya diurut perlahan.
Tersengih Edryka.
Pelukannya makin erat. Pipi papanya dicium.
“Kalau papa ada sakit
jantung, itu hah hospital yang papa kena duduk. Silap-silap kalau umur papa tak
panjang, Ryka kena tempah kubur untuk
papa.” Sambungnya lagi.
Edryka sudah mula
menunjukkan muka muramnya. Dia seakan tidak menyukai dengan kata papanya itu.
Pelukannya direnggangkan.
“Apa papa ni! Janganlah
cakap macam tu! Suka sangat buat Ryka sedih. Ini yang Ryka tak suka ni. Lagipun
Ryka nak bagi papa ceria je. Kan papa penat. Siang papa kerja. Takkan itu pun
tak boleh.” monyok habis muka tu.
Datuk sazali perasan
akan perubahan riak wajah anak bongsunya itu. Sekali sekala kenakan anaknya
itu, terhibur juga hati tuanya. Dia tersenyum. Nampak sangat sikap manja si
Edryka ni. Nak curi perhatian lebih.
Dekat siapa lagi hendak
menumpahkan kasih sayang, kalau bukan anak bongsunya itu. Kalau hendak mengharapkan
anaknya yang lain, semua sibuk belajar. Bukannya dekat. Jauh di perantauan sana.
Anak lelaki pertamanya sedang melanjutkan pelajaran di London manakala anak
perempuan keduanya sedang melanjutkan pelajaran di America.
“Ish! Anak papa ni, tak
cantiklah buat muka macam ni! Tak comel.
Nanti cepat tua! Dah ada kedut-kedut dekat muka tu. Cuba senyum sikit. Papa tak
nampak pun pipi tembam anak papa ni. Tu hah, ada apa pulak kat pipi dia tu!
Taik cicak ke apa tu! Hitam putih je.” usik Datuk Sazali tersenyum.
Bahu papanya dipukul
lembut lalu tersenyum sedikit. Pipinya disapu sikit.
“Apa papa ni! Mana ada
taik cicak! Pipi papa tu yang ada taik cicak.”
“Dekat pipi papa ni tahi
lalat bukan taik cicak. Hah! Inilah anak papa. Yang cantik. Yang comel.
Tersenyum jek. Okay. Papa minta maaf cakap macam tu tadi kat Ryka.” Ujar Datuk
sazali dengan sedikit usikan kepada Edryka.
Edryka tersenyum lebar.
Air mata yang gugur setitis disekanya.
“Tapi lain kali jangan
buat macam ni lagi. Kalau Ryka selalu buat papa macam ni, boleh kena heart attack tau tak! Papa naklah juga
tengok anak papa yang comel ni bersuami. Berkahwin. Papa naklah juga main
dengan cucu. Kalau cucu papa tu perempuan, mesti dia comel macam mama dia. Ada
pipi tembam. Mata bulat. Cantik.” puji melambung terhadap anak bongsunya itu.
Teramat pastilah si Edryka tersenyum lebar. Senyum sampai ke telinga.
“Apa papa merepek ni! Calon
pun tak ada lagi. Siapalah nak dekat Ryka ni. Ryka ni belajar lagi. Tak naklah kahwin!
Ryka nak enjoy dulu. Lagi pun Ryka tak puas lagi nak bermanja dengan papa.
Nanti kalau Ryka dah kahwin, tak dapat nak bermanja dengan papa lagi. Betul
tak?” balas Edryka tersenyum sambil peluk leher papanya itu.
Kata papanya
mengembalikan keceriaan di mukanya. Edryka sememangnya amat rapat dengan papanya.
“Kalau tak dapat
bermanja dengan papa, suami Ryka kan ada. Boleh bermanja dengan dia. Kalau
dapat suami yang loving, best tau!
Mesti Ryka akan rasa diri tu macam puteri raja. Dapat layanan tu yang terbaik
punya. Nanti dah kahwin tahulah apa maksud papa ni.”
Bahu papanya dipukul
lagi.
“Papa ni! Jangan
merepeklah! Ryka nak papa jugak!” balas Edryka dengan muka tiga posennya.
“Lagi satu, kalau nak
kahwin tu tak tahu bila. Mungkin esok ke, lusa ke, kita mana tahukan. Papa
terima je, kalau itu dah jodoh Ryka. Lagi pun tak salahkan kalau berkahwin masa
belajar ni. Apa orang kata, kalau berkahwin masa belajar ni, memang best.
Seronok! Lelaki tu hak milik kita sorang je. Hak milik yang sah. Ada orang jaga
kita.
Manalah tahu, esok ada
lelaki handsome dekat Universiti tu suka dekat anak papa ni. Alih-alih dia ajak
Ryka jadi makwa dia. Macam mana? Kalau betul apa yang papa cakap ni, Ryka nak
kata apa?” duga Datuk Sazali.
“Entah.” Ringkas Edryka
menjawabnya.
“Entah pulak dijawabnya.
Nanti kalau dah tahu rasa cinta tu macam mana jangan nak tepis pulak. Mesti tak
boleh nak tepis cinta tu. Kalaulah cinta tu dah macam lelaki Korea, papa yakin
sangat anak papa ni tak boleh nak tepis cinta tu. Dia asyik datang kat kita je.
Apa yang papa tahu, aura
cinta Korea ni lain sikit. Lelaki korea kan romantik orangnya. Nanti ada je
idea dia nak tackle kita. Mula-mula
tu mungkin kita akan rasa benci, tak suka
tapi dah lama-lama nanti, dalam hati tu berbunga je. Nak tau sebabnya
apa? Sebabnya lelaki macam tu susah sangat nak dapat kat dunia ni. Kalau sekali
dah dapat, tak tidur malam dibuatnya. Lelaki edisi terhad gitu.” panjang pulak
si papa ni bercakap tentang cinta. Hehe. Tersenyum.
“Yelah tu papa. Lelaki
Korea ke, Malaysia ke, apa ke, itu semua lambat lagi. Buat masa ni dalam hidup
Ryka tak ada masa nak bercinta cintun. Nak kejar cita-cita dulu. Lepas tu baru
fikir pasal cinta tu semua.” jawab Edryka.
“Papa Cuma nak pesan,
jangan cuba nak mengelak kalau dah ada cinta tu depan mata. Ingat! Setiap hari
dia akan datang dalam hidup kita! Dia akan ketuk pintu hati Ryka! Kalau dah
jumpa jodoh awal, apa salahnya kan! Terima je. Jangan nak tebal sangat muka tu.”
tersenyum lagi Datuk Sazali. Sporting habis si papa ni! Sokong habis dalam
bab-bab cinta ni! Hehe.
Bayangan si mamat mata
sepet terjah ke dalam fikirannya. Apa yang dilihat petang tadi merasuk dalam
mindanya.
‘Apasal pulak mamat ni
datang dalam otak aku ni! Ingat kau kacak sangat ke apa petang tadi tu! Huh!
Mamat buat pizza tu lagi kacak dari kau! Tersenyum macam nangka busuk je! Ingat
aku melting ke dengan senyum kau tu!
Jangan mimpilah! Confirm muka tu
penuh touch up dengan make up. Yelah, lelaki Korea kan macam plastik. Licin je
muka tu! Kalah muka perempuan. Mentang-mentang papa cakap pasal lelaki Korea,
tiba-tiba je dia nak muncul. Ada ke aku bagi kad jemputan dekat kau untuk
datang dalam otak aku ni! Tetamu tak diundang! Macam udang!’ getus hatinya. Geleng
perlahan kepala Edryka. Buang masa aku je! Papanya dilihat kembali.
“Okay Pa. Back to our early topic. Ryka janji, Ryka
takkan sergah papa dan terkejutkan papa lagi. Ryka sayang papa tau.” Ujar Edryka
sambil memeluk badan Datuk Sazali. Beginilah keakraban Edryka terhadap papanya.
“ Papa,dah makan?” Soal
Edryka.
Datuk sazali tersenyum
melihat anak bongsunya itu kembali ceria.
“Belum lagi. Papa tunggu
Ryka balik la.” Jawab Datuk Sazali.
“Okay. Papa tunggu Ryka
sekejap. Ryka nak pergi mandi dulu. Badan Ryka ni minyak wangi dah mula menebal
sepuluh inci. Wangi tak? Heee....” Ujar Edryka dengan tersengihnya.
“Patutlah papa bau
semacam je. Macam orang tak mandi setahun. Anak papa belum mandi lagi rupanya.”
Usik Datuk Sazali dengan ketawanya.
“Nanti Ryka pakai minyak
wangi SimplySiti tu sebotol. Biar hidung papa tu tersumbat.”
Edryka hanya tersenyum
lalu berlalu ke biliknya dan meninggalkan papanya di ruang tamu atas. Kelibat Edryka
hilang dari pandangan Datuk sazali.
Datuk sazali hanya tersenyum
dan menggeleng melihat gelagat anak
bongsunya itu. Sesungguhnya, Edryka merawat segala kedukaan di dalam hatinya
dan memberi kegembiraan dalam dirinya sementara anak pertama dan keduanya tiada di sisinya.
Jam menunjukkan 8.30
malam. Selesai sahaja Edryka bermakan malam dengan papanya lalu Edryka memasuki
ke biliknya. Dirinya berasa penat setelah menjalani kehidupan sehariannya.
Koridor bilik ditujunya dan duduk di atas kerusi yang berserta meja yang berada
di situ. Angin malam yang sejuk tersepoi-sepoi bahasa melanggari badan. Berasa
tenang ketika itu.
‘Lily. Macam mana
keadaan dia sekarang ni? Dia masih marah dekat aku lagi ke?’ monolog hatinya. Edryka
termenung seketika.
Satu keluhan dilepaskan.
‘Kalau mamat tu tak
muncul masa tu, ini semua takkan jadi. Kau memang gila! Boleh pulak kau buat
perangai romeo kau tu! Aku malu tahu tak! Itu semua kerja gila! Eeii!!! Nak
melututlah konon! Perasan diri tu putera rajalah tu! Dia ingat aku terharu?
Huh! Jangan haraplah! Terjunlah kau kat
dekat tasik Putrajaya tu!’
Edryka menggeleng.
‘Tak! Tak! Itu semua
bukan salah aku! Lainlah kalau aku yang mintak semua ni. Aku tak salah! Buat
apa aku nak takut dengan semua ni! Lily mesti tak marah dekat aku. Ya! Dia
mesti tak marah dekat aku!’ sambung monolognya lagi. Mengangguk perlahan.
Edryka bingkas bangun
dari tempat duduknya dan masuk ke bilik dan menuju ke meja belajarnya untuk
mendapatkan telefon bimbitnya. Edryka mencari nama kawan baiknya dan terus menelefon kawannya itu.
Kedengaran caller ringtone lagu Alyah-Kisah Hati. Meruntun
hati apabila mendengar lagu tu. Lirik lagunya yang sedang didengarinya seakan
kena dengan keadaan kawannya itu. Adakah kawannya itu sengaja memasang lagu
tersebut?
“Hello..” kedengaran
suara Lily di sebalik telefon.
Lamunan Edryka pantas
hilang sebaik sahaja kedengaran suara kawannya itu.
“Hai, Ly. Kau buat
apa?”Tanya Edryka sedikit gugup.
Kedengaran suara Lily
seperti kebiasaannya. Edryka pelik.
“Aku tengah online ni.”
Jawab Lily. Kebingungan Edryka semakin bertambah dengan kata rakannya itu.
‘Dia tak marah dekat aku
ke pasal siang tadi? Masa dia balik tadi pun, aku dah dapat agak. Muka ketat
semacam je. Mesti dia bengang dan marah dekat aku.’ getus hati Edryka.
“Ada apa telefon aku
malam-malam ni? Nak chatting dengan
aku ke? Jomlah!” Pelawa Lily tersenyum.
Anak matanya menghadap ke skrin laptop dihadapannya.
‘Aku mesti kena tanya
jugak! Aku kena tahu!’ getus hati Edryka lagi.
Edryka meneruskan
niatnya untuk bertanya kepada Lily tentang kejadian petang tadi.
“Uurrmm…Kau okay tak? Kau
tak marah ke dekat aku pasal mamat sepet tu?” Soal Edryka sedikit teragak-agak.
Lily perasan akan perubahan
suara Edryka yang kelihatan serba salah.
“Eh, Ryka, aku okaylah. Kau
jangan nak fikir bukan-bukan. Aku tak marah pun dekat kau. Tak ada sebab aku
nak marah dekat kau. Lagipun itu semua bukan salah kau. Kalau aku jadi kau pun,
aku buat hal yang sama.” Balas Lily.
“Betul ke ni? Aku
bukannya apa. Kau kan suka si mamat sepet tu.” ujar Edryka.
“Tentang Rain tu aku tak
kisah. Aku rasa mamat tu suka dekat kaulah Ryka. Kalau dia suka aku, bunga tu mesti dia
dah bagi kat aku. Jadi maknanya bunga tu dia bagi dekat kau. Dia suka dekat
kau.”
“Arh kau ni! Jangan nak
merepeklah! Tak ada masa aku nak fikir pasal cinta ni! Kalau kau nak tahu, apa
yang terjadi hari ni semuanya bala. Ye lah. Kalau mamat sepet tu tak muncul
hari ni, semua ni takkan terjadi. Hura-hara jadinya!“ bela Edryka.
Lily mengeluh. Dia sudah
bersandar di kerusinya.
“Kau jangan nak mengelak
kalau dia tu cinta kau. Mungkin semua ni rahsia Allah kan. Allah kirimkan dia
untuk datang dalam hidup kau. Kalau dah memang ditakdirkan dia tu cinta kau,
kau larilah ke mana pun, Ke hujung dunia sekali pun, dia tetap akan ada kat
sisi kau. Dia tetap kejar cinta dia. Percayalah.
Lagi satu, macamlah kau
tak tahu apa maksudnya kalau lelaki bagi
bunga dekat perempuan. Takkan niat tu nak berkawan je. Impossible! Kalau nak berkawan, selain bunga boleh bagi. Kau
fikirlah Ryka. Cakap aku ni bukan cakap kosong. Bunga tu lambang cinta dia.
Tujuan dia bagi bunga dekat kau pun supaya kau faham isi hati dia.” Sambung Lily.
Namun hati Lily berasa pedihnya apabila untuk mengatakannya.
Edryka terdiam apabila Lily
berkata sedemikian. Ada betul juga kata kawannya itu.
‘Kalau kawan takkan nak
bagi bunga. Ish! Takkanlah mamat tu suka dekat aku! Eeii! Tak nak aku mamat
mata sepet tu! Mata tu kuyu je! Macam orang baru bangun tidur.’ geleng perlahan
kepalanya.
“Eh tak da maknanya. Mengarut
je kau ni. Forget it!” Dalih Edryka.
Lily hanya menggeleng
dengan kata rakannya itu.
“Kau
jangan Ryka. Nanti kalau kau dah sangkut dengan mamat tu, kau tak tertepis nak
halangnya. Aku tengok mamat tu ikhlas suka kat kau. Lagi pun apa kurangnya dia.
Kalau kau setakat nak cakap mata dia sepet, tak ada masalahnya. Sepet dia pun, handsome jugak dia. Aku yang tengok dia
pun dah cair, apatah lagi perempuan lain. Mustahillah dalam hati kau tu tak ada
secuit pun rasa suka kat dia.” Luah Lily.
Walaupun baru sahaja
mengenali Edryka, Lily dapat merasakan Edryka menyukai akan mamat korea
tersebut. Hati sesama perempuan jelas dapat difahami.
“Sepet tetap sepet. Taste aku bukan lelaki mata sepet. Kalau
dia suka dekat aku pun, pergi jalanlah dengan cinta dia tu. Dia tu dah sepet
jadi sesuai dengan perempuan mata sepet je. Dekat negara dia pun ramai lagi
perempuan cantik dekat sana. Cun melecun lagi. Dah kau jangan nak merepek
meraban lagi.
Okaylah, tujuan aku call kau ni pun aku nak minta maaf dekat
kau sebab aku rasa serba salah sangat dekat
kau. Aku tak sangka mamat tu buat perkara bodoh macam tu.” Balas Edryka.
Lily terdiam.
‘Sampai bilalah kau nak
menafikan perasaan kau tu Ryka. Kau akan tewas jugak nanti.’ bisik hati Lily.
“Okaylah Ryka. Aku nak
terkucil ni. Jumpa esok. Selamat malam.” Talian telefon dimatikan.
Edryka akur dengan
kehendak rakannya itu.
“Tak menyempat aku nak say night. Laju jek tutup telefon dia tu!”ujar
Edryka perlahan.
Bahu katilnya menjadi
tempat sandarannya. Bayangan Rain mula menerjah masuk ke fikirannya.
‘Kenapa hati aku ni tak
boleh nak marah dan benci dia setelah apa yang dia dah buat dekat aku?
Takkan aku suka dengan apa yang dia dah buat tu? Tak! Aku tak suka! Ini semua mengarut. Ini semua tak masuk akal.
Malu aku dibuatnya tadi!’ desis hatinya.
Lantas Edryka teringat
akan kejadian petang tadi. Mamat mata
sepet itu memberinya sekuntum bunga
mawar putih. Lalu, Edryka mendapatkan di dalam begnya. Ternyata bunga itu masih
berada dalam keadaan baik. Hatinya sedikit tenang bila ternampak bunga
tersebut.
‘Kenapa aku tak boleh
nak buang bunga ni! Aku tak sampai hati nak buang bunga secantik ni.’ bunga
tersebut dicium. Memang wangi.
Edryka termenung
seketika. Kenapa mamat ni buat semua ni? Apa yang aku rasa sekarang ni? Tak
mungkin ia adalah...............
Kedengaran bunyi kereta
Nissan Teanna memasuki di perkarangan rumahnya. Siapa lagi kalau bukan Datin
Azizah, isteri Datuk Sazali merangkap mama Edryka. Kebiasaannya pada waktu
sebegini, Datin Azizah baru sahaja selesai mesyuarat dengan kawan-kawannya yang membincangkan pembukaan
perniagaan spa mereka ataupun untuk melepaskan rindu dengan kawan-kawannya.
Biasalah kalau orang
perempuan sudah jumpa teman sekaumnya, mesti lama jumpanya. Berbual je sampai
mulut tu tak penat.
Bunyi kereta mamanya
itu, membantutkan lamunannya terhadap mamat sepet itu. Lalu Edryka membetulkan
bantalnya dan menarik selimutnya. Semoga tidurnya diulik mimpi yang indah dan
dapat melupakan perkara yang di luar jangkaan apa yang berlaku siang tadi.
Seorang lelaki bernama
Rain kacukan Korea-Malaysia sudah mula muncul dalam hidup Edryka. Apakah tujuan
lelaki kacukan tersebut muncul dalam hidupnya? Siapakah dia?
No comments:
Post a Comment