Thursday, October 9, 2014

Cinta Nakal - 5

“Ibu…”
                        Fatimah memandang Zahrah. Anaknya hendak apa pula. Muka tu macam orang gelisah saja. Dia perasan anaknya memandang ke tingkat atas. Ada apa pula di tingkat atas? Hairan!
                        “Ada apa?”
                        “Zahrah nak naik atas sekejap.”
                        “Nak buat apa pulak? Tolong ibu dekat dapur ni. Jangan asyik nak mengelak aje. Biar badan tu keluarkan peluh. Sihat sikit badan tu.”
                        Zahrah sudah buat muka kelatnya.
                        “Ish! Ibu ni. Ke situ pulak.”
                        “Habis tu? Cuba beritahu ibu, ada apa dekat atas tu. Kamu nak buat apa? Asyik nak duduk dekat atas aje. Tak tengok TV, tidur. Itu ajelah kerja kamu kan. Dah berkahwin pun, perangai tu tak berubah langsung.”
                        “Bukanlah. Zahrah…”
                        “Tak payah nak tipu ibu. Macamlah ibu tak kenal kamu ni.”
                        “Zahrah nak ke atas bersebab.”
                        Tubuh Fatimah menoleh ke belakang. Bersebab? Sebab apa pula ni. Dia perasan anaknya bermain jari. Dia pelik pula. Macam hal penting aje.
                        “Hah! Sebab apa?”
                        “Suami Zahrah lah.”
                        “Kenapa dengan suami kamu?”
                        “Dulu ibu sendiri cakap, jadi isteri tu kena prihatin kepada suami. Selalu ambil berat pasal suami. Selalu utamakan suami. Sayangkan suami. Syurga isteri terletak di telapak kaki suami. Jadi sekarang ni, Zahrah nak tengok dia buat apa dekat atas tu. Tanya khabar ke, apa ke. Manalah tahu dia nak air. Zahrah boleh tolong buatkan. Zahrah tak naklah ibu pandang serong aje dekat Zahrah.”
                        Zahrah tersenyum nipis. Pandai pula dia mereka ayat. Takkan skema jawapan kut. Dia curi-curi memandang ke  atas. Suaminya buat apalah ketika itu. Entah kenapa dia mahu mengetahui keadaan suaminya. Dah macam isteri misalilah pula. Lagi pun, dia mahukan kebenaran di sebalik kata-kata Faizul. Lelaki itu mahukan kehidupan yang baru. Jadi dia mahu memulakan strategi. Dia akan mengambil berat tentang lelaki itu. Dia ingin tahu bagaimana layanan yang sebenar diberikan kepadanya.
                        “Seorang isteri yang baik akan disayangi suami.” Sambungnya lagi.
                        “Yalah. Ada ajekan akal kamu tu?”
                        Zahrah tersengih kecil. Kalau bab bagi alasan memang nombor satu.
                        “Pergilah sana. Kalau tak ada kerja, turun ke dapur. Tolong ibu.”
                        Zahrah masih tersengih dan mengangguk perlahan. Fatimah terus menyambung kembali kerja yang tergendala tadi. Geram pula dengan kata-kata anaknya itu. Ada saja hal yang nak dijawabnya.
                        “Zahrah naik atas dulu ya, bu?”
                        “Okay. Pergilah. Jaga suami kamu tu elok-elok.”
                        Pantas aje Zahrah mengatur langkah ke tingkat atas. Dalam langkah yang diatur, tiba-tiba rasa berdebar di hati. Ruang tamu kosong. Tak  ada orang. Ayahnya tiada. Faizul? Tak  ada juga. Zahrah sudah mula rasa pelik. Ke mana pula suaminya pergi? Takkan berada di luar rumah pulak. Leher dipanjangkan ke hadapan. Langkah terhenti.  Mata terpaku di ruang sebelah kiri ruang tamu. Di sofa.
                        Faizul tidur dengan lena. Angin kipas yang berlegar di udara membuatkan rambut si Faizul sedikit  berterbangan. Dia terpaku sekejap melihat keindahan yang satu itu. Langkahnya disambung kembali dengan perlahan. Takut pula kehadirannya itu nanti menyedarkan Faizul yang sedang tidur lena.
                        Tiba sahaja di sisi Faizul, wajah Faizul menjadi mangsa renungannya.  Boleh tahan juga dia ni. Handsome juga dia ni. Bisik hatinya.
                        Zahrah mula melabuhkan punggung di lantai. Ketika itu, limpahan rasa kasih sayang Zahrah terhadap Faizul melimpah ruah. Tangannya terhenti untuk memegang tangan lelaki itu.
                        Aku tahu dia ni memang seorang lelaki yang baik. Aku tak boleh nak layan dia dengan teruk. Dia suami aku. Aku ni isteri dia. Apa saja yang aku buat, dia kena tempiasnya. Dia tanggung dosa aku. Aku ni tanggungjawab dia.  Takkan aku sanggup  menyakiti hati dia? Bisik hatinya lagi.
                        Zahrah mula tertunduk sedikit.
                        “Kamu tak suka?” soal Puan Hafizah.
                        “Takkan saya nak kahwin dengan anak auntie pulak.” Ujar Zahrah. Dia tidak suka masuk ke perbincangan yang tidak dipinta. Dia akan mempertahankan. Dia takkan berkahwin apatahlagi di usia muda. Dia tidak puas lagi untuk bermanja dengan ibu dan ayah.
                        “Kamu tak sudi?” soal Puan Hafizah perlahan.
                        “Bukan macam tu. Saya…”
                        “Habis tu apa? Anak auntie tak cukup baik untuk kamu?”
                        Zahrah menggeleng perlahan.
                        “Dia bukan citarasa kamu?” soal seorang ibu lagi.
                        “Auntie dengar dulu apa yang saya nak cakap. Boleh?”
                        Puan Hafizah mengangguk. Risau pula Faizul ketika itu. Sejak tadi, asyik saja perempuan itu hendak membantah. Tidak mahu berkahwin dengannya. Tak cukup ke apa yang terjadi selama ini?
                        Kemesraan?
                        Kegembiraan?
                        Gurau senda?
                        Dia merasakan itu sudah cukup. Dia bahagia dengan perempuan itu. Apa yang dia mengharapkan ketika itu adalah Zahrah boleh menerimanya. Dia takkan melepaskan perempuan itu pergi ke lelaki lain. Dia akan berbuat apa saja supaya perempuan itu jatuh ke tangannya. Bukan dengan cara jahat tapi cara baik. Tapi apa?
                        “Semua ni terjadi secara tiba-tiba. Selama ni saya tak pernah jumpa dengan anak auntie. Kami berbual di facebook aje. Saya tak sangkalah pula apabila saya berjumpa aje dengan anak auntie hari ni, terjadi macam ni pulak. Hal kahwin bukan main-main. Berkahwin biarlah sekali dalam seumur hidup.”
                        “Saya serius dengan awak. Tolonglah terima saya.” Celah Faizul.
                        “Apa jaminan untuk saya yang saya bahagia dengan awak?” soal Zahrah.
                        Faizul terdiam. Raut wajahnya bertukar pucat. Jaminan? Dia memandang wajah mama pula. Puan Hafizah tidak beri sebarang respons. Dia hendak cakap apa? Takkan hendak cakap apa yang dia miliki menjaminkan kebahagiaan? Duit? Harta benda? Teramat pasti Zahrah akan melenting. Dia yakin yang perempuan itu bukan seorang yang materialistik.
                        Zahrah memandang Puan Hafizah kembali.
                        “Maaf auntie. Saya memang tak boleh.”
                        “Auntie boleh beri kamu peluang.”
                        “Peluang untuk apa? Nak tahu yang saya ni mata duitan atau tak?”
                        Berani sungguh Zahrah berkata begitu. Puan Hafizah dan Faizul terkejut. Mereka berdua macam tidak percaya saja apa yang dia dengari tadi.  Faizul memandang mamanya. Masing-masing tidak tahu hendak bercakap apa.
                        “Saya tahu saya ni tak kaya macam auntie. Jujur saya cakap saya ni datang dari keluarga yang sederhana. Hidup dekat kampung. Tak  ada rumah besar macam rumah auntie. Rumah kami biasa aje. Taklah seteruk atap bocor sampai air hujan boleh masuk. Saya ada maruah diri. Kalau auntie anggap saya ni perempuan mata duitan, auntie silap. Faizul, awak silap.” Dia memandang lelaki itu pula.
                        Faizul tertelan liur.
                        “Saya selesa dan bersyukur dengan hidup saya sekarang. Ibu dan ayah saya beri didikan agama yang cukup. Saya tak naklah jadi macam dalam drama TV tu. Nampak lelaki kaya aje terus menggedik tak tentu pasal. Nak kikis duit lelaki tu. Sorrylah. Saya rasa awak patut cari perempuan lain. I’m not your choice.”
                        Zahrah bingkas bangun. Dia tidak layak berada di situ. Dia berharap sangat detik itu kali pertama dan kali terakhir masuk ke rumah orang kaya. Dia tidak mahu ada bersangkut paut lagi dengan orang kaya. Kalau dia hendak mencari calon suami pun, biarlah latar belakang itu dari golongan yang sederhana.
                        Puan Hafizah dan Faizul terkejut. Takkan perempuan itu hendak balik pula.
                        “Saya balik dulu. Assalamualaikum.”
                        Baru saja hendak mengatur langkah,
                        “Tunggu! Auntie tak suruh pun kamu balik pun.” Panggil Puan Hafizah dengan nada tenang. Dia masih berasa terkejut dengan apa yang didengarinya tadi. Dia tahu yang perempuan muda itu tidak berniat hendak berlaku kurang ajar tapi dia hormat terhadap insan tersebut. Sudahlah berpakaian sopan, tingkah laku yang menyenangkan, dan seorang yang cantik.
                        Langkah Zahrah terhenti. Faizul memandang mamanya kembali.
                        “Duduk. Auntie tak habis lagi hendak bercakap dengan kamu.”
                        Zahrah terpaksa akur. Mahu atau tidak, dia berlalu ke tempat tadi dan duduk di sofa lembut itu. Dia sedikit tertunduk. Mungkin ke berlaku biadab tadi? Rasa bersalah pula. Dia tidak berniat pun bertindak macam tu tapi dia memang tidak suka berkahwin di usia muda. Belum tiba masanya lagi.
                        “Auntie memang rasa kagum dengan kamu.”
                        Zahrah pantas mendongak memandang wajah wanita itu. Kagum? Apa maksud wanita berusia itu?
                        “Saya tak faham.”
                        “Auntie memang tak kisah siapa pilihan anak auntie. Auntie terima aje dengan ikhlas. Auntie tahu pilihan anak auntie memang tepat dan takkan  mengecewakan auntie. Auntie kenal sangat siapa anak auntie yang sebenarnya.” Ujar Puan Hafizah tersenyum.
                        “Maksud auntie?” soal Zahrah, tidak faham.
                        “Hah! Awak…”
                        Suara Faizul mula kedengaran. Kuat pula tu. Terperanjat Zahrah dibuatnya.  Zahrah terus memandang Faizul. Suka hati aje buat dia terkejut. Nak kena ketuk ke apa kepala tu. Dia mengurut dada. Berderau darahnya.
                        “Apa?”
                        “You are the best candidate to be my wife. I love you so much.”
                        “Hah?”
                        “Tolong jangan tinggalkan saya. Please…”
                        “Apa awak merepek ni? Saya…”
                        “I love you. Saya tak nak perempuan lain. Saya nak awak aje.”
                        Faizul cepat-cepat mengalihkan pandangan ke muka puan Hafizah.
                        “Ma. Zahrah inilah bakal isteri Faizul. Pasti! Bakal menantu, mama. Cantikkan?”
                        “Memang cantik. Pandai kamu mencari.”
                        “Faizul takkan kecewakan mama.”
                        “Mama tahu tu.”
                        Faizul tersenyum nipis. Semakin melebar senyuman puan Hafizah. Zahrah yang mendengarnya sedikit terkejut. Bakal menantu? Dirinya bakal menjadi isteri kepada  lelaki itu? Takkan tak faham kut apa yang dia cakap tadi?
                        “Saya tak nak kahwin.”
                        “Saya akan buat awak berkahwin dengan saya.”
                        “What?”
                        “I will show my true love to you.”
                        “Welcome to the family mama, sayang.”
                        Apa semua ni? Zahrah mulai pening. Keadaan yang tegang tadi bertukar menjadi kelakar. Kelakar? Ya! Ini memang kelakar.  Lelaki dan mamanya itu betul ke tidak? Apa yang didengarinya tadi seolah-olah dia bersetuju saja hendak berkahwin dengan anaknya.
                        Welcome to the family?
                        Mama?
                        Rasa nak pitam aje.
                        “Minggu depan mama akan hantar rombongan meminang. Bersiap sedia ya? Mama tak sabar nak ada menantu. Faizul inilah satu-satunya anak aunty. Zahrah takkan rugi ada Faizul dalam hidup Zahrah. Zahrah takkan menyesal. Percayalah cakap mama. Mama percaya yang kamu bukan mata duitan.” Yakin puan Hafizah.
                        Rombongan meminang?
                        Zahrah terkedu. Kejutan apa pula ni? Minggu depan? Aduh! Macam manalah dia hendak bercakap dengan ibu dan ayah nanti. Kalau dia tak bercakap nanti, alih-alih muncul aje di rumahnya nanti. Mesti ibu dan ayah terkejut besar. Dia memandang Faizul. Faizul hanya tersengih kecil.
                        “This is my answer just now.” Perlahan saja tuturan kata si Faizul.
                        Jawapan?
                        Zahrah buntu. Dia tidak boleh fikir. Satu keluhan berat dilepaskan. Kahwin dalam usia muda? Tidakkk!!!
                        “Kita bercinta selepas kahwin. A beautiful moment. I will make you feel happy.” Ujar Faizul lagi dengan lembut.
                        Tanpa sedar, Zahrah sudah melabuhkan kepalanya di lengan Faizul. Asyik sangat teringat kisah lama, tak sedar dengan tingkahnya itu. Wajah Zahrah sugul. Macam orang berada dalam kesedihan aje. Ini ke yang dinamakan bercinta selepas kahwin?
                        Sebaik saja tiba di kampung yang lepas, suaminya asyik saja mencuri perhatiannya. Ada saja tingkah lelaki itu yang hendak dilihat. Buat ketupat? Salah satunya yang membuatkan hatinya berasa gembira.
                        Dia mengeluh pula. Hendak merungut pun, hanya sia-sia saja. Mahu atau tidak Zahrah kena menerima Faizul Arman sebagai suaminya dalam erti kata yang sebenar. Semasa acara merisik pun, Zahrah tidak membantah. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa, dia tak nak membantah apa yang terjadi. Dia hanya merelakan semua itu terjadi sehingga lafaz nikah terucap di bibir Faizul. Ya! Zahrah menginginkan lafaz nikah diucapkan oleh seorang lelaki dan bukan dua atau tiga orang lelaki. Memang tak disangka lelaki itu adalah Faizul. Dia mendongak sedikit melihat muka lelaki itu lalu tersenyum nipis.
                        Zahrah berasa kasihan juga terhadap Faizul. Setelah penat mengait kelapa, parut kelapa, lepas tu mengemas pula di halaman rumah. Daun-daun kering habis dibersihkannya. Pasu-pasu bunga disusun elok. Nampak kemas dan memberi kelainan sedikit. Zahrah yang melihatnya pun sedikit terkejut. Pandai juga si Faizul dalam bab mengemas. Tekun dalam membuat kerja.
                        Tabik spring!
                        Faizul tersedar dari tidur. Matanya terkebil-kebil memandang Zahrah. Zahrah terkejut. Kantoi sudah dia melihat lelaki itu. Faizul mula pelik. Perempuan itu buat apa pula di situ? Dia melihat lengannya pula. Tangan perempuan itu menghempap tangannya.
                        “Rindu saya ya?”
                        “Eeii!! Perasan!”
                        “Habis tu awak buat apa dekat sini? Tengok saya pulak tu.”
                        “Muka suami sendiri takkan tak boleh tengok kut.”
                        “Mestilah boleh.”
                        Faizul terus memeluk bahu Zahrah. Mata Zahrah sedikit membulat. Kena peluk? Lagi? Lambat-lambat segaris senyuman terukir di bibir Faizul. Faizul  mengusap lembut di kepala Zahrah. Rasa kasih dan sayangnya terhadap Zahrah tak pernah berkurang sedikit pun. Malah jika dia tidak nampak Zahrah dalam sehari pun, rasa kasih sayangnya tidak pernah tergugat.



                        “Awak nak apa?” soal Faizul yang segak dengan pakaian t-shirt berkolar dan mengenakan seluar jean berwarna biru yang ada carik-carik putih.
                        Memanglah mana-mana perempuan yang melihat Faizul ketika itu, boleh jatuh hati. Sebentar tadi pun ada beberapa mata memandang Faizul. Faizul hanya tersenyum nipis sahaja kepada mereka. Mereka terpegun dengan ketampanan yang dimiliki oleh Faizul. Zahrah yang melihatnya, rasa sakit hati pula dan hanya mampu dipendam. Kalau diikutkan hati, dia mahu ketuk kepala semua perempuan tu.
                        Gatal!
                        Mata tak  ada insurans!
                        Sekejap!
                        Zahrah cemburu? Cemburu tanda sayang.
                        “Tak naklah. Awak beli ajelah apa yang awak nak.” Balas Zahrah.
                        “Takkan tak nak apa-apa kut.”
                        “Cuba jangan nak memaksa saya. Boleh?”
                        Faizul tak terkata apa. Dia memandang ke hadapan. Zahrah memang tidak suka pergi ke bazar. Dia tak suka nak berhimpit-himpit dengan orang lain. Rimas dibuatnya. Lihat saja suasana ketika itu, sudah  pun  menyesakkan mata. Ramai betul orang yang lalu lalang. Belum lagi pada malam raya. Kalau malam raya, lagilah ramai orang yang bertandang. Boleh pengsan dibuatnya.
                        “Takkan kita dah sampai sini, awak tak nak beli apa-apa? Rugi tau! Cuba tengok tudung tu semua. Cantik pun cantik.  Suitable for you.” Pujuk Faizul.
                        Takkan dia seorang saja yang hendak beli baju? Terasa macam tidak seronoklah  pula. Biarlah sama-sama beli baju. Baru adil. Faizul memeluk bahu Zahrah. Zahrah hanya membiarkan saja. Tak  ada tanda dia hendak buka mulut. Macam malas saja hendak melayan. Takkan tak faham bahasa kut apa yang dia cakapkan tadi. Rasa seballah pula!
                        “Sayang pilih aje apa yang sayang nak. Abang belanja sayang. Tak bestlah kalau sayang tak nak beli apa-apa.” Bisik Faizul di tepi telinga Zahrah.
                        Zahrah segera memandang wajah Faizul.
                        Sayang? Mulalah rasa semacam. Bulu roma menegak. Dia sudah mula mengusap lengan.
                        “Apa awak cakap?” soalnya.
                        “Saya cakap apa?”
                        “Cakaplah. Jangan buat  tak tahu pulak.”
                        “Abang belanja.”
                        “Selepas belanja tu?”
                        Faizul terus tertelan liur. Dia berpura-pura memandang sekeliling. Dia pun tak sedar apa yang dia cakapkan tadi. Takkan isterinya hendak marah kut. Tapi bila tengok muka si Zahrah, macam hendak makan orang aje.
                        “Cakaplah.”
                        “Lupakan ajelah. Tak penting pun.”
                        Zahrah pegang tangan Faizul. Faizul tersentak. Dia melihat tangan perempuan itu di tangannya. Renungan macam harimau nak makan orang tu yang tak boleh tahan. Faham sangatlah tu apa maksudnya. Dia mula tersengih kecil.
                        “Sayang?” perlahan aje suara Faizul.
                        “Itu pun susah nak cakap. Okay.”
                        Zahrah melepaskan tangan lelaki itu. Suka pula dia mendengar perkataan sayang tu. Dia mengherot senyum nipis. Faizul tercengang. Okay? Isterinya dah kenapa? Takkan itu aje kut jawabnya. Belum sempat dia hendak membuka mulut, Zahrah mencelah lagi.
                        “Satu aje saya nak tanya awak.” Ujar Zahrah.
                        “Apa dia?”
                        “Awak boleh ke nak beli baju, seluar, dekat tempat macam ni? Bukan ke awak suka beli dekat shopping complex, butik.  I know your taste. Macamlah saya tak kenal orang macam awak ni. Nak kualiti yang baik.”
                        “Sayang dah silap.”
                        “Silap?”
                        “Tak semestinya abang akan pergi ke tempat tu semua. Ya! Memang abang suka beli dekat sana tapi dekat tempat macam ni juga ada yang menarik. Apa yang penting, kita kena bijak memilih. Untuk pengetahuan sayang, setiap tahun, abang dan mama akan pergi ke jalan TAR untuk beli persiapan raya. Jadi, tempat macam ni tak mendatangkan masalah pun dekat abang. Kalau tak  ada yang berkenan, tak payah beli. Senangkan?”
                        Zahrah diam. Dia macam susah pula hendak percaya apa yang diperkatakan oleh Faizul. Manalah tahu apa yang dikatakan oleh Faizul sekadar untuk menyedapkan hati dia. Tapi…
                        Wajah lelaki itu masih diamati.
                        “Awak… jom pergi bazar. Kita cari apa yang patut. Raya dah nak dekat.”
                        “Bazar?”
                        “Yalah. Dah! Jom!”
                        Masih teringat lagi ajakan suaminya di rumah tadi. Zahrah mula terfikir. Kalau si Faizul mengajaknya pergi bazar, itu bermakna apa yang dikatakan oleh Faizul tadi betul? Mulalah dia menyoal akal. Nak percaya atau tidak. Taste suaminya macam orang lain juga. Suka pergi ke bazar. Tak kisah bersesak dengan orang ramai. Agaknya orang kaya lain macam suaminya juga ke? Soal hatinya.
                        “Sayang….” Pipi Zahrah dielus oleh Faizul.
                        Zahrah tersentak.
                        “Fikir apa?” soal Faizul.
                        “Tak  ada apa.” Geleng Zahrah perlahan sambil tersenyum pahit.
                        “Betul ni?”
                        Zahrah mengangguk pula.
                        “Sayang tak sihat ke?”
                        “Saya okay aje. Awak jangan risaulah. Awak beli ajelah apa yang awak nak. Saya cuma temankan awak aje. Anggap aje saya keluar dengan awak malam ni, adalah satu tanggungjawab isteri kepada suami dia. Bila-bila aje awak perlukan saya, saya bersedia untuk awak. Tempat seorang isteri berada di sisi suami dia..” Ujar Zahrah.
                        “Ala… tak bestlah macam ni.”
                        “Best apa. Saya kan ada dengan awak.”
                        “Rasa best tu sikit aje. Kalau awak beli barang, lagi best.”
                        “Nak pujuk sayalah ni?”
                        “Lebih kuranglah.” Tersengih.
                        Zahrah tersenyum nipis. Orang mula ramai. Apa yang difikirkan oleh Zahrah ketika itu adalah untuk berada di sisi Faizul aje. Takut pula berpisah dengan Faizul nanti. Tak pasal-pasal nanti, menjenuh dia nak mencari lelaki itu. Keluasan bazar tu bukannya kecil tapi besar. Penat nak menapak.
                        “Awak ikut saya.” Faizul terus menarik tangan Zahrah supaya mengikutinya.
                        Zahrah yang sedikit terkejut, hanya mengikut saja. Faizul mula memasuki ke gerai yang menjual tudung. Apa yang ada di dalam gerai itu semuanya menjual tudung. Rambang mata pula dibuatnya. Tudung yang berada di situ semuanya cantik-cantik. Tak tahu hendak pilih yang mana. Dia beranggapan, kalau Zahrah memakainya, mesti bertambah cantik.
                        Satu persatu tudung diambil lalu diberi kepada isterinya. Zahrah hanya menurut saja. Dah macam duta tudunglah pula. Hendak mencuba aje pelbagai jenis tudung.  Rasa rimas si Zahrah ditahan sajalah demi menjaga hati suami. Tak sanggup pula hendak menghapuskan senyuman di bibir lelaki itu.
                        Tiba sahaja Zahrah dan Faizul di kedai makan, Zahrah asyik saja memerhati  barang-barang yang dibeli oleh Faizul. Ingat dia ni patung dekat kedai baju ke apa. Macam-macam Faizul beli untuknya. Pelbagai jenis warna tudung. Baju kurung tiga pasang.
                        Kasut?
                        Kata Faizul, dia tak  ada yang perkenan. Beli di tempat lain saja. Katanya lagi dia mahu yang terbaik untuknya.  Zahrah beranggapan…
                        Shopping complex lah tu. Memanglah mamat ni tak boleh dipisahkan dengan tempat yang macam tu. Orang kaya memang macam tu. Tempat yang ada standard katanya. Bisik hati pula.
                        “Awak tak rasa membazir ke?” soal Zahrah.
                        “Membazir? Kenapa awak cakap macam tu pulak? Mana  ada banyak.”
                        “Awak cakap tak banyak? Banyak tau tak awak beli untuk saya.”
                        “Alaaa… bukannya selalu.”
                        “Saya tak sukalah awak membazir macam ni.”
                        “Saya tanya awak nak apa, awak tak nak cakap. Jadi saya beli yang mana sesuai dengan awak. Saya yakin sangat apa yang saya beli ni, memang sesuai sangat dekat awak. Seratus persen tau!” Faizul tersenyum nipis.
                        Zahrah mula menongkat dagu. Wajah Faizul masih dilihat.
                        “Kenapa awak tengok saya macam tu? Rindu?” teka Faizul.
                        “Jangan nak merepeklah.”
                        Bagi Faizul, dia sentiasa merindui Zahrah. Tak kisahlah berada di depan mata atau tidak, rasa rindu itu tetap ada. Jika dah sayang, rindu turut bersatu. Kalau dah bersatu, nak berenggang walau sekejap, memang tak boleh. Asyik teringat saja si cinta hati. Amboi! Melampau betul sampai tak boleh nak berenggang.
                        “Tak nak mengakulah tu kan? Tak baik tau menipu diri sendiri.”
                        “Eh! Ke situ pulak.”
                        “Kalau betul, apa salahnya kan? Zahrah isteri abang. Abang suami Zahrah. Mestilah kena ada rindu-rindu tu semua. We became closer.”
                        Zahrah hanya mencebik. Terus hinggap satu cubitan lembut di pipi Zahrah. Rapatlah sangatkan. Dia mula terfikir kenapa sejak menjak dia asyik saja rindu terhadap lelaki itu? Dia pun bingung. Kalau dulu, tak  adalah sangat. Ini setiap minit asyik saja rasa rindu.
                        “Pipi saya ni memang tempat cubit awak kan?”
                        “Mestilah. Itu tandanya saya sayang dan cinta dekat awak.” Balas Faizul senang.
                        Zahrah yang mendengarnya, tergamam.
                        Sayang?
                        Cinta?
                        Lama-lama kalau Zahrah mendengar ungkapan itu semua, boleh jadi minah gila cinta nanti. Kali ini, apabila lelaki itu berkata sebegitu, Zahrah merasa sedikit bahagia.
                        Bahagia?
                        “Tak elok membazir. Lain kali beli apa yang perlu aje.”
                        “Untuk isteri saya sendiri, dikira membazir ke? Rasanya takkan?” soal Faizul pula seraya menongkat dagu memandang Zahrah. Dia tersenyum nipis.
                        Gulp!
                        Wajah Zahrah berona merah. Dia tersenyum kelat lalu memandang ke kanan. Terus lidahnya kelu untuk berkata-kata. Alasan yang betul. Takkan untuk isteri sendiri dikira membazir pula kan.
                        “Saya nak tanya awak, sepanjang saya menjadi suami awak, pernah tak saya beli apa-apa untuk awak selain pemberian cincin nikah saya tu untuk awak?” soal Faizul.
                        Zahrah terus melihat Faizul. Diam. Memanglah tak  ada. Dia pun bukan jenis yang meminta. Kalau mahu pun, apa saja yang dia mahukan? Nak baju baru? Kasut baru? Beg tangan baru? Rasanya tak perlu. Dia bukan orang yang sentiasa bergaya. Bergaya dengan apa yang ada saja. Selagi tak nampak lusuh, rosak, dia akan menggunakan sebaik mungkin.
                        Faizul memahami sangat apa jawapan di sebalik pemberian raut wajah Zahrah ketika itu.
                        “Allah melarang umatnya bersifat kedekut sehingga boleh menjejaskan imej seorang Muslim. Allah juga melarang kita berbelanja di luar kawalan sehingga boleh menyebabkan pembaziran. Sekali lagi saya tanya, awak rasa dengan apa yang saya beli ni, suatu pembaziran ke? Saya beli mengikut kemampuan saya dan ianya untuk awak. Untuk orang yang saya sayang.”
                        Zahrah tersengih kecil. Pandai pula mamat ni cakap macam tu. Aku memang tak boleh baca fikiran dia. Aku belum cukup kenal personaliti dia lagi. Sekali dia cakap hal-hal agama, memanglah aku tak boleh nak cakap apa-apa. Nampak aje macam gila-gila kepala dia tapi orang penuh ilmu di dada. Tabik 50 kali. Omel hati Zahrah.
                        “Awak… saya…”
                        “Jangan terlalu kedekut dan jangan terlalu boros.” Pintas Faizul.
                        Diam.
                        “Awak fahamkan apa yang saya cakap?”
                        “Macam faham.” Zahrah tersengih kembali.
                        “Bukan ke kewajiban seorang suami menyediakan kemudahan untuk si isteri? Bukan setakat kemudahan untuk urusan harian,  malah si suami akan cuba memberi yang terbaik dari segala aspek untuk si isteri supaya apabila si isteri hidup bersama dengan si suami, dia tidak akan rasa kekurangan. Ini bergantung juga pada kemampuan dan ekonomi si suami tu.” Sambung Faizul lagi.
                        Faizul memegang erat tangan Zahrah. Dikucup pula sedikit lama. Zahrah terpana. Rasa macam terlebih bahagia kut. Elok saja bibir lelaki itu menyentuh tangan, angin berderu dengan lembut. Rasa macam dalam drama TV aje. Ceh! Sahlah si Zahrah ni kaki drama TV.
                        “Saya sanggup buat apa saja untuk awak. Awak adalah nyawa kedua saya.”
                        Wajah Zahrah mati dari segaris senyuman. Dia masih melihat wajah Faizul. Mungkin dia masih terkejut dengan apa yang berlaku. Bukan disebabkan lelaki itu sanggup berbuat apa saja untuk dirinya tapi…
                        Satu hal baru yang harus diterimanya.
                        Faizul bukan seorang suami yang biasa tapi luar biasa. Dia tak menduga yang Faizul seorang suami yang romantis. Lelaki itu melayannya seperti permaisuri.
                        “Awak kena ingat satu perkara.”
                        “Apa dia?”
                        “Kita disunatkan berpakaian cantik tetapi ramai yang menganggap cantik itu memerlukan pembaharuan. Islam tidak melarang seseorang itu untuk bergaya dengan pakai yang serba baru tetapi janganlah sampai terlalu boros berbelanja. Beli barang mengikut keperluan dan bukan kehendak. Apa yang penting sekali, lihat pada kemampuan diri kita sendiri. Duit boleh dicari tapi isteri macam sayang ni, abang susah nak cari. Bayangkan abang dari Kuala Lumpur  datang ke sini. Sayang ingat dekat ke?” Tak habis lagi ujaran si Faizul.
                        Kata-kata Faizul membuatkan Zahrah tertutup rapat kembali bibirnya. Dia semakin buntu untuk berkata-kata. Idea tak  ada. Takkan lelaki itu hendak mengungkit pula.
                        Pembaharuan?
                        Memanglah gaya bahasa si Faizul berada di taraf  yang tinggi. Orang berpendidikan tinggilah katakana. Zahrah mula yakin yang Faizul bukan calang-calang orang. Bukan setakat lelaki bandar, pandai mengait kelapa, pandai memarut kelapa tetapi dia boleh menjadi seorang pakar motivasi. Itu baru sikit dia dengar, belum banyak lagi. Ya! Zahrah bagai berhadapan dengan seorang pakar motivasi.
                        “Saya minta maaf.” Pinta Zahrah perlahan.
                        “Sebab?”
                        “Pasal tadi.”
                        “Pasal apa?”
                        Geram pula Zahrah melihat si Faizul. Dia mencubit lembut di lengan Faizul. Faizul menjerit kecil.
                        “Adui! Sakitlah.”
                        “Dah tahu, buat-buat tak tahu pula. Sajalah tu nak kenakan saya.”
                        Faizul tersenyum nipis.
                        “Sama ada kesalahan awak tu secara sengaja atau tak, pintu kemaafan saya selalu terbuka untuk awak. Kemaafan saya bukan hanya untuk pada hari raya saja tapi pada setiap hari. Jadi awak tak perlulah risau. Macam saya cakap dulu, saya akan cuba menjadi seorang suami  yang terbaik untuk awak.”
                        Pintu kemaafan selalu terbuka untuk dia? Rasa terharu pula.  Zahrah sedikit tidak percaya. Baiknya lelaki yang bernama Faizul. Beruntung mendapat lelaki begitu sebagai suami? Memang beruntung. Bukan sahaja lelaki itu baik dan memahami malah dia seorang yang penyayang. Dia takkan membebani orang yang dia sayang dengan sebarang dosa. Apa yang dia mahukan adalah…
                        Hidup dihujani dengan rasa kebahagiaan. Ya Allah. Aku bersyukur Engkau menghadirkan dia dalam hidupku. Dia memang kebahagiaanku. Ucap hati kecilnya.
                        “Allah telah berfirman dalam Surah Al-Israa’ ayat 29 yang bermaksud, Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu  pada lehermu dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.”
                        Diam. Faham ke tidak Zahrah oi! Bukan ke dia dalam bab macam tu lemah sikit. Kalau setakat bab-bab akhlak memang dia tahu. Kalau tahu, kenapa masih nak berdingin aje dengan suami? Tak baik. Tolonglah berubah wahai Zahrah  oi! Hargailah suami kau sementara dia masih ada. Kalau dia dah  tak  ada nanti, baru kau menyesal. Jangan jadikan ilmu yang kau ada tu seperti menggantung gambar di dinding. Takkan nak buat hiasan aje kut. Mulalah dia bermonolog.
                        “Harap awak faham.” Faizul masih tersenyum nipis.
                        Zahrah menggangung perlahan.
                        “Awak jangan risau, untuk ibu dan ayah awak, saya ada belikan sekali. Dua pasang baju melayu dan dua pasang baju kurung. Cukup tak?” soal Faizul pula.
                        Zahrah yang mendengarnya, terkejut.
                        “Dua pasang? Banyaknya.”
                        “Dua dikira banyak ke?”
                        “Bagi saya banyak.”
                        “Matematik awak memang fail. Dua awak cakap banyak? Hah! Ini memang kelakar.” Dia terketawa kecil.
                        Zahrah tak terketawa pula. Macam tak lawak aje apa yang dia dengari. Dia merasakan seperti anak yang tidak berguna aje. Dia sebagai anak kandung kepada ibu bapanya, tidak pernah pun hendak membeli apa-apa kepada mereka.
                        Tapi…
                        Wajah lelaki itu masih dilihat. Menantu mereka pula yang membeli untuk mereka. Rasa bersalah tak sudah. Memang patutlah ibu dan ayah sayang sangat terhadap suaminya. Faizul pandai mengambil hati mereka.
                        “Bukan selalukan? Awak anggap aje, apa yang saya beri untuk ibu dan ayah awak adalah suatu pemberian ikhlas daripada saya. Awak doakan semoga hidup kita dimurahkan rezeki. Ada rezeki lebih apa salahnya kalau kita berkongsi dengan orang lain. Betul tak? Lagi pun, ibu dan ayah awak, ibu ayah saya juga. Macam mana awak sayang dekat mereka, macam tulah juga gambaran sayang saya dekat mereka. Kita kenalah menjadi seorang anak yang disukai dan disenangi oleh ibu bapa kita. Berbakti kepada ibu bapa, insyaAllah syurga Allah bakal kita jejaki. Hidup kita akan selalu diredhai.”
                        Faizul mengucup lembut tangan Zahrah. Lagi? Zahrah kembali diam. Suka sangat buat jantungnya berentak gila. Aduhai!



                        Masuk sahaja ke bilik, Zahrah terdengar deringan telefon. Bukan telefon miliknya tapi…
                        Telefon milik Faizul. Anak mata Zahrah sudah terarah di meja solek. Dia teringin hendak tahu siapa yang menelefon suaminya pada malam itu. Mengacau saja ketenangannya. Belum sempat Zahrah hendak menyambung langkah, pintu bilik dikuak dari luar.
                        Zahrah sedikit terkejut. Dia memberi laluan kepada Faizul. Faizul hanya tersenyum saja kepada Zahrah. Zahrah membalas dengan segaris senyuman nipis. Nampak sangat panggilan telefon tu penting. Kelam kabut aje dibuatnya.
                        “Hello…” sapa Faizul setelah menjawab panggilan tersebut.
                        Tubuh Faizul masih dilihat oleh Zahrah. Dia mahu tahu siapa gerangan yang menelefon Faizul.
                        Jikalau perempuan?
                        Zahrah sudah mula berfikir macam-macam. Dia sedar, lelaki itu mempunyai nilai kekacakan yang tinggi. Mana-mana perempuan yang melihat Faizul, pasti akan terpikat dan tergoda. Dia menggeleng perlahan.
                        Takkan cemburu kut?
                        “Mestilah Faizul sayang. I always love you so much.” Faizul terus berlalu dari situ. Sempat lagi dia menghadiahkan sekuntum senyuman kepada Zahrah yang berada di sisi katil. Lelaki itu hilang di sebalik daun pintu.
                        Sayang?
                        Mulalah Zahrah hendak mengamuk. Siapa insan tersebut? Terus membulat mata dia mendengar ungkapan sayang yang keluar dari mulut Faizul. Zahrah mula mengiyakan tanggapannya sebentar tadi.
                        Ya!
                        Faizul ada perempuan lain. Takkanlah! Zahrah terduduk di birai katil. Termenung. Air mata mula bergenang di tubir mata. Tinggal menunggu detik untuk tumpah ke muka. Dia termanggu.