“Bos. Dia dah
balik tu.”
“Tak apa. Kau tengok aku
nak buat apa.”
“Bos nak buat apa?”
“Kan aku suruh tengok.
Tengok ajelah. Kenapa slow sangat
ni?!”
“Sorry bos. Excited terlebih.”
“Banyaklah kau punya excited. Lem…”
Malas nak cakap. Si
botak sudah menggeleng. Bengap sungguh kuncunya itu. Lelaki itu hanya tersengih
saja. Dah suruh tengok, pergi tanya lagi. Memanglah nak kena dengan bos
botaknya. Muka dia cuba berlagak serius. Kalau nak jadi kaki gangster, muka
kena main peranan.
Tahu!
Serius?
Macam tak aje!
“Woi!!!” jerkah si botak.
Kelihatan di sisi kanan dan kiri
lelaki itu, ada dua orang lelaki yang
sedang tersenyum sinis. Faham-faham ajelah macam mana senyum orang jahat. Poyo
aje lebih. Jahat yang selalu menyusahkan orang.
Menyampah!
Dari gaya mereka macam
penyangak pun ada. Ada yang kening
berparut dan tatu penuh di tangan. Hidup macam orang tak ada pegangan agama aje.
Apabila hendak mati pun, susah. Memandang remeh temeh saja tentang hukum agama.
Fariz yang sedang
mengangkat beg pakaian di anak tangga luar rumah, terhenti. Ayahnya pula sudah
masuk ke dalam rumah. Dia bagai faham dan mengenali lenggok suara tersebut. Dia
harus bersabar. Anggap saja itu satu ujian dalam hidupnya walaupun sudah selalu
begitu. Fariz sudah menoleh ke belakang. Dia berlagak tenang. Sudah lali dengan
jerkahan itu semua. Jerkahan yang menjadi makanan pahit pada setiap hari.
“Dah balik rupanya.” Kedengaran
gelak ketawa di hujung kata.
“Kau nak apa?”
“Tak tahu pulak?”
“Aku tak pernah tahu
dan malas nak ambil tahu.”
“Nak aku cakap ke?”
Lelaki itu sudah
mengatur langkah masuk ke halaman rumah Fariz. Sempat lagi dia dengan kuncu-kuncunya
menjatuhkan pasu bunga dengan kaki. Ada yang disepak, ada juga yang dibaling. Habis
semua pasu bunga dijatuhkannya. Pecah! Beginilah
perangai orang yang tak bermoral. Lelaki itu
masih tersenyum sinis. Sakit saja mata Fariz melihat. Tak habis-habis
hendak mengacau hidupnya.
“Kau baru balik dari
mana? Siap bawak beg sekali. Aku ingat kau dah berambus dari kampung ni. Kalau
kau dah berambus, senang sikit hidup aku. Aman kampung ni. Tak ada lah bala
bencana. Huh!” dia sudah menjeling ke arah beg di hadapannya itu.
“Aku atau kau?”
“Apa kau merepek ni?”
“Nak aku terangkan?”
Si botak sudah memandang
kuncu-kuncunya. Dia tak faham. Apa maksud budak hingusan di hadapannya itu?
Elok saja dia memandang ke hadapan, Fariz memintas dengan katanya.
“Kau tak puas nak
memalukan kampung ni?”
“Bukan aku tapi kau!
Kau!”
“Aku? Huh!” Fariz
terketawa kecil.
Ini memang kelakar!
“Apa kes kau buat dekat
bawah jambatan tu? Kau boleh terangkan tak? Tak puas nak memalukan kampung ni
dengan aktiviti tak bermoral kau tu? Kau tak terfikir ke, kau dah beri contoh
yang tak baik kepada penduduk kampung terutama budak-budak sekolah. Kau nak dia
orang jadi macam kau ke? Hidup menyusahkan orang!”
Terus tertutup rapat bibir si
botak. Merah padam mukanya. Rahsia yang satu itu sudah terbongkar. Dia
perlu cakap apa? Aduh! Buntu sekejap. Dia tak boleh terima! Dia dimalukan dengan budak hingusan seperti Fariz.
Niat hendak mengenakan Fariz, tak menjadi pula. Mulalah nak naik angin satu badan.
“Kau jangan ingat aku
takut kau buat muka macam tu.” Sambung Fariz lagi.
“Berani kau cakap…”
“Memang aku berani. Aku
cakap berdasarkan bukti.”
“Bukti?”
“Kau jangan ingat aku
tak pernah nampak kau di bawah jambatan tu.”
Si botak sudah mengepal
penumbuk. Mahu saja dia melayangkan penumbuk ke muka lelaki itu. Ini tak boleh
dibiarkan. Dia harus mengajar budak hingusan itu supaya lebih menghormatinya.
Hormat? Perlu ke orang macam si botak dihormati? Hormat orang lain pun tak
pernah. Serah saja hendak mengugut orang, dialah juara.
Fariz menahan saja rasa
geram dan amarah. Anak mata sempat
melirih ke arah pasu bunga yang dijatuhkan
oleh lelaki itu. Dia cuba menyabarkan diri dan mengawal rasa amarah yang
mula marak. Dia puaslah juga sebab sudah membasuh muka lelaki itu dengan
kata-katanya. Dia hanya takut kepada Allah saja. Kenapalah dalam dunia ni mesti
ada orang jahat. Iri hati. Orang yang tak boleh tengok insan lain hidup dengan
tenang.
“Aku ingat kau dah
berambus dari kampung ni! Yalah. Manalah
tahu dah tak tahan dengan cacian orang kampung dekat kau kan. Kalau kau pergi
dari kampung ni, aman sikit hidup aku. Tak adalah orang kampung dan aku ni hari-hari nak hadap muka kau! Tengok muka kau
aje, rasa menyampah! Muka manusia jijik macam kau ni layak aje tidur bawah
jambatan. Geli tau tak! Geli!!!” hambur lelaki itu.
Fariz sudah mengepal
penumbuk. Tak habis-habis insan di hadapannya itu hendak mencari pasal
dengannya. Ingatkan dah serik. Ternyata tidak. Bawah jambatan? Itu bukan
tempatnya. Dia belum sedaif itu. Kalau dirnya sudah lupus dengan sikap sabar,
sudah lama muka lelaki itu makan penumbuknya.
Biarlah orang lain
memandang hina terhadapnya, janganlah menjadi orang yang seperti tiada akal. Sentiasa
memupuk akhlak yang terpuji. Fariz masih lagi memandang hormat terhadap insan
di hadapannya itu kerana orang yang sudah dianggap kurang ajar itu, lebih tua darinya.
Baik sungguh si Fariz ni.
“Mengintip aku?”
“Tak ada maknanya aku nak mengintip kau. Buang
masa aje!”
“Tak mengintip? Oh… kau
nak aku buat apa sekarang?”
“Soalan jenis apa pulak
tu? Nak aku…”
“Pergi dari kampung ni?
Huh!”
“Dah tahu! So, get lost!”
Fariz tersenyum sinis.
“Kau siapa nak halau
aku? Suka hati akulah nak bawak beg ke, apa ke, yang kau sibuk sangat tu dah
kenapa! Ada ke aku menyusahkan hidup kau? Ada ke aku kacau hidup kau? Aku pelik
tengok orang macam kau ni! Tak habis-habis nak cari pasal dengan orang lain!
Dalam sehari tu mesti ada aje perangai binatang kau tu! Perangai tak semegah
kau tu! Aku dah muaklah tengok muka kau
yang perasan bagus ni! Hidup pun menumpang dengan emak bapak dah berlagak
bagus!” bela Fariz dengan hamburannya.
Sekali-sekala kena
tunjuk berang sikit. Jidin naik berang. Dia mengetap bibir dengan rapatnya.
Berani betul budak hingusan itu melemparkan kata sebegitu. Sekali lagi dia
kena. Kuncu-kuncunya hanya terdiam. Mereka pun tidak percaya dengan apa
yang mereka dengar. Sejak bila budak
hingusan tu berubah? Selama ini hanya diam aje.
“Apa kau cakap? Aku
kurang dengar.” perli Jidin.
“Rasanya tak perlu kut
aku ulang balik. Jangan nak jadi pekak sangatlah!”
Langkah Jidin disambung
kembali.
“Kau sedar tak diri kau
tu siapa?”
“Aku seorang manusia.
Hamba Allah.”
“Oh… hamba Allah?” dia
terketawa kecil.
“Kenapa? Tak betul ke?
Lawak ke apa yang aku cakapkan tu? Allah kan wujud. Cuma kita aje yang tak
nampak. Dia selalu nampak kita. Hanya dialah yang tahu kebenarannya. Nak tahu
tak kebenaran apa? Kebenaran kenapa hidup aku ditakdirkan macam sekarang ni.
Aku tak pernah nak merungut malah aku bersyukur sangat mendapat seorang ayah
yang baik. Bukan macam kau! Ada ayah tak tahu hendak hargai. Pengemis!” tersenyum
puas Fariz. Dia sudah meletakkan beg pakaiannya ke bawah.
Walaupun Jidin masih
hidup di bawah tanggungan keluarga, lihat saja pakaiannya ketika itu. Baju
macam tak basuh berbulan-bulan lamanya. Silap-silap sudah berbau busuk. Peluh
melekat dekat baju. Keadaan baju Fariz lagi baik daripadanya. Jidin masih mengatur dua langkah ke hadapan.
“Kau cakap aku pengemis?
Kau sedar tak kau sedang bercakap dengan siapa sekarang? Sedapnya mulut kau
mengata aku! Kau tu yang macam pengemis. Tahu!” jegil matanya.
Fariz sedikit pun tidak
gentar dengan renungan maut lelaki itu.
“Memanglah aku kenal
kau. Mamat hidu gam! Mamat hidup di bawah jambatan! Puas? Huh! Oh ya! Ada ke
aku suruh kau nak hadap muka aku hari-hari? Ada tak? Setahu aku tak ada kan?!
Bukan ke kau yang terhegeh-hegeh nak hadap muka aku? Aku pun dah bosan tengok
muka cengkung kau tu. Macam sekarang ni. Kau main serbu masuk aje rumah orang.
Langsung tak beradab!” Fariz berpeluk
tubuh.
Belum sempat Jidin
bersuara, Fariz mencelah lagi.
“Stop! Bagi aku cakap dulu! Kau dengar dulu manusia jijik ni nak
cakap apa.”
Sakit saja hati Jidin
ketika itu. Siap kena perli lagi. Lelaki itu sudah berani hendak membantah
katanya. Dia tidak boleh terima sikap Fariz yang tidak diduga itu. Memang satu
kejutan besar buatnya.
“Hidup aku dan bapak aku tak pernah nak menyusahkan orang
lain. Tak pernah lagi sampai nak ketuk pintu rumah orang, nak minta duit. Jadi
macam pengemis. Tolong… tolong… klise sangatlah macam tu kan. Takkan ada semua tu dalam hidup kita orang. Walaupun
hidup kita orang tak berapa senang, makan minum kami terjaga. Perut kami
beralas dengan makanan yang halal. Kau kena ingat, punca rezeki yang halal akan
diberkati oleh Allah. Kami pandai mencari duit sendiri dan kami bukannya pengemis jalanan! Tahu!”
Puas hati!
Terasa ringan otaknya
sedikit. Apa yang terpendam selama ini, terluah jua.
Jidin berpeluk tubuh.
Baru saja hendak buka mulut….
“Aku belum habis cakap
lagi. Selagi aku tak puas, aku takkan berhenti bercakap.”
“Kau…”
“Kenapa? Sakit hati?”
Fariz terketawa kecil. Suka pula dia tengok muka lelaki itu. Bengang aje! “Kau
jangan ingat selama ni aku diam, kau boleh buat sesuka hati. Silap besarlah
Jidin oi! Aku bukan seperti yang kau sangka. Aku bukan sebarang budak. Seorang
budak yang akan ingat sampai bila-bila apa orang lain buat dekat dia.” Fariz
tersenyum nipis.
Sebal!
Jidin bertambah geram!
“Jadi aku mintak tolong sangat
dekat kau wahai Encik Jidin bebal supaya tak kacau hidup aku dan ayah aku!
Boleh? Aku tak pernah nak minta
perhatian orang kampung terhadap aku dan
ayah aku! Sekali lagi aku cakap, aku tak pernah nak kacau hidup orang lain!
Hanya orang yang tak ada sivik macam kau ni aje, suka sangat nak ambil tahu hal orang lain. Kalau
untuk kebaikan, tak apa lah juga. Ini
keburukan. Menyakitkan hati. Dah tak ada kerja agaknya sampai nak menyibuk hal
orang. Menyibuk hal orang menambahkan dosa aje.
Apa kata kau balik
sekarang! Kau pergi dekat bawah jambatan dekat sungai tu! Kau berkawan dengan
mat gam tu semua! Macam orang tak ada akal sampai nak hisap benda haram tu! Apa
faedahnya pun tak tahu. Dah pergi! Malas aku nak layan kau!” tempik Fariz. Dia
sudah mengambil beg pakaiannya kembali lalu mengatur langkah naik ke anak tangga
rumahnya.
Jidin sudah merentap kuat
pasu bunga yang tergantung di hadapannya itu lalu melempar ke tanah dengan
kuat. Bukan satu pasu tapi tiga pasu yang menjadi mangsa rentapannya. Langkah
Fariz terhenti. Dia masih membelakangkan lelaki tidak beradab itu.
Kena rentap lagi?
Fariz bersabar lagi.
“Aku belum habis lagi
perhitungan dengan kau!”
Fariz diam. Matanya
dipejam perlahan dan dibuka semula.
“Kau dengar sini manusia
yang tak ada taraf! Manusia jijik! Kau sedar sikit diri kau dekat kampung ni.
Kau dengan bapak kau tu cuma menumpang aje! Rumah ni! Ini rumah kau ke? Setahu
aku rumah ni dulu tak berpenghuni, alih-alih kau dengan bapak kau datang sini duduk
dekat rumah ni. Main redah masuk aje! Kau ni dah macam pencuri tahu tak! Kau
dan bapak kau memang tak tahu malu ambil
rumah orang. Muka tu kalah tembok berlumut! Bukan setakat tembok berlumut tapi
batu besar berlumut! Tahu tak! Kalau best lagi dekat tembok tu ada ulat! Huh!
Bertambah jijik dibuatnya.” tembak Jidin dengan katanya. Sempat dia lagi
meludah. Tanda geram.
Memang tak ada sivik si Jidin ni.
Puas! Macam menang
loteri saja.
Fariz masih diam tidak
berkutik. Dia membasahkan lidah dengan menyeru nama Allah berkali-kali agar
diberi kekuatan.
Sabar!
“Hah! Kenapa diam? Tak
betul ke apa yang aku cakap tu?”
Bahagian depan hidung
dikesat sekejap! Memang serupa gaya samseng.
“Lebih baik kau diam.”
“Aku takkan diam selagi
aku tak puas.”
“Kau nak aku buat police report ke?”
“Alah… macam berani.”
“Kau jangan nak cabar
tahap kesabaran aku!”
“Tolong dengar aku apa
yang aku nak cakapkan ni!”
Fariz diam. Hatinya
pedih. Dia tak sanggup lagi maruahnya dipijak oleh lelaki itu. Matanya
dikecilkan sehabis mungkin.
“Dari kau bayi sampailah
sekarang hidup kau ni asyik menyusahkan orang aje! Sejak kau datang ke kampung
ni macam-macam hal terjadi! Kau ni bawa bala tau tak! Masa kau tak ada dekat kampung
ni, aman aje dekat sini! Kau ni memanglah pembawa malang! Huh!”
Fariz mula mendongak.
“Ini memang hot issue. Meletup habis! Kau nak tahu tak?!
Yang paling aku terkejut, aku dengar kau ni anak luar nikah. Betul ke? Bapak
kau buat hubungan sulit? Tak kahwin lagi
kan? Ish! Orang jenis apa macam tu. Nampak baik tapi…. malaslah aku nak cakap. Asyik
menjadi buah mulut orang aje. Kasihankan kau! Kau ni adalah hasil nafsu
keseronokan bapak dan mak kau dulu!” terbahak-bahak Jidin ketawa.
Makin berapi hati Fariz
mendengarnya. Membara rasa amarahnya. Dia tak boleh tahan sabar lagi. Apa nak
jadi, jadilah. Dia tak kisah. Dia tak boleh dengar kalau ada orang lain
menghina ayahnya. Menghina ayahnya sama saja menghina dirinya.
“Opps! Bukan mak tapi
perempuan simpanan! Betul tak? Dah simpan berapa lama pun tak tahu. Hasilnya
keluarlah orang macam kau ni.” makin berbisa kata si Jidin ni. Berdekah-dekah
ketawanya.
Ahmad yang terdengar di
sebalik daun tingkap hanya mampu menahan
rasa pedih dan sedih. Geram pun ada. Dia tahu sangat bagaimana perasaan anaknya
ketika itu. Kalau boleh diulang kembali
masa yang lepas, takkan dibuat kerja terkutuk itu semua. Itu semua tanpa
dipinta. Sekarang, anaknya yang menjadi mangsa cacian orang. Ahmad sudah
terduduk di lantai. Kedengaran esakan kecilnya.
“Ya Allah. Lindungilah
kami.” Pintanya.
Fariz sudah menoleh ke hadapan.
Bengis!
“Apa kau cakap? Boleh
aku dengar sekali lagi?” ujar Fariz.
“Wo! Tadi kau kata aku
pekak, sekarang kau pulak yang pekak! Cakap aku pandai tapi kau pun pekak sama!
Dasar anak luar nikah betul! Anak luar nikah memang dilahirkan pekak eh?” Jidin
berpeluk tubuh.
Fariz sudah tidak tahan
mendengar ungkapan anak luar nikah itu. Sakit hatinya. Dia sudah mencapai
sebatang kayu beruti besar di mata tangga rumah dan menggengam kuat. Jidin yang melihatnya
sudah mula kecut perut ditambahi pula dengan riak muka lelaki itu. Dia dengan
kuncu-kuncunya sudah mula mengundur beberapa langkah. Fariz mula mengatur
langkahnya kembali.
“Mesti kau tak pernah
nampak aku mengamukkan?”
“Kau nak buat apa ni?”
“Kau rasa?”
“Kau jangan nak…”
“Takut?”
Fariz melangkah dua
langkah ke hadapan. Dia terketawa kecil.
“Aku tahu orang macam
aku ni memang layak di hina tapi hinaan kau ni dah melampau. Selama ni memang
aku boleh bersabar. Sekarang ni kau dah buat aku hilang sabar. Aku tak kisah
kau tu anak ketua kampung ke, anak menteri ke, orang yang dah berbuat jahat
dekat aku, aku takkan beri peluang.”
Kayu beruti itu diangkat
ke atas. Wajah Fariz sedikit tertunduk. Jidin masih mengundur langkah ke
belakang. Dia sudah memandang rakan-rakannya. Hanya gelengan dibuat oleh
mereka.
Faham!
“Ya! Memang aku ni anak
luar nikah! Memang bapak aku tak kahwin! Puas? Tapi kau tak berhak nak kacau
hidup kami berdua! Kau bukan Tuhan yang boleh nak menghukum aku. Hanya Tuhan
yang berhak mengadili hambaNya. Jangan disangka orang yang lahir dari latar
belakang yang buruk, tak sempurna dan tak layak untuk hidup.” ujar Fariz lagi dalam perjalanannya
itu.
Jidin dan kuncu-kuncunya sudah takut jikalau lelaki itu berbuat sesuatu
kepada mereka. Nampak aje berani tapi penakut. Sudah pelbagai andaian muncul di
benak fikiran mereka. Bagai terasa tubuh dihentam kuat dengan kayu beruti
tersebut.
“Kau siapa nak mencaci
aku? Dalam hal ni, aku ke yang patut di persalahkan? Aku minta ke dilahirkan
dalam keadaan macam sekarang ni? Hidup dalam serba kekurangan dan dipenuhi
dengan cacian orang kampung termasuk kau yang berperangai mengalahkan tapir hutan!
Kau cakap dengan aku sekarang! Akal letak dekat lutut?! Tak boleh fikir dengan waras? Kau ni
sepatutnya bukan dilahirkan sebagai manusia tapi binatang. Kalau manusia, dia takkan menghina orang
lain. Tahu!” hambur Fariz lagi.
Dengan semangat yang
ada, Jidin tekad.
“Suka hati akulah! Mulut
aku! Bukannya mulut kau! Kau memang
layak dicaci! Dihina! Kau memang layak dilayan macam tu! Hakikatkan orang macam kau ni kena macam tu! Padan muka!
Biar sedar sikit diri kau tu siapa sebenarnya! Kau tu tak setaraf dengan aku
dan orang lain.” bela Jidin.
“Oh macam tu? Okay!”
“Kau jangan nak…”
“Apa nak jadi-jadilah.
Orang macam kau ni tak layak nak dihormati.”
“Kau… kau…”
“Aku memang sedar diri
aku ni siapa! Memang aku tak boleh nak tutup mulut orang yang mencaci aku dengan
bapak aku! Aku dah lali makan cacian orang.
Aku masih kuat dan tabah hadapi semua tu. Aku takkan lemah. Allah sentiasa ada di sisi aku.
Kau nak tahu tak, orang macam
aku ni tempatnya di sisi Allah lebih mulia daripada orang macam kau ni! Aku ni
manusia yang tak bersalah! Aku tak pernah nak berbuat jahat dekat orang. Aku
hormat bapak aku sendiri walaupun aku dah tahu hakikat yang sebenar! Aku tak
berhak nak menghukum dia! Siapa aku nak menghukum bapak aku sendiri? Dia tetap
bapak aku. Aku bersyukur sangat sebab dia sudi menjaga dan membesarkan aku.”
Semakin kuat genggaman
Fariz terhadap beruti di tangan.
“Mungkin dah ditakdirkan
hidup aku macam ni! Aku siapa nak menolak takdir. Kalau hidup macam kau tu yang
dipenuhi dengan kesempurnaan hidup, tapi perangai tu macam orang tak ada moral,
tak ada adab, agak-agak apa yang Allah berikan dekat kau? Kau fikirlah sendiri!
Hidup langsung tak tahu nak hormat orang! Perasan diri tu bagus sangat!” hambur
Fariz lagi.
Kayu beruti di tangannya
sudah ke kiri dan kanan. Jidin dan kuncunya sudah tertelan air liur.
“Sedangkan Nabi Muhammad
bila terjumpa pelacur pun, dia tak pernah nak pandang hina. Tak terdetik dalam
hati dia hendak membenci. Dia tak pernah berikan cacian. Dia hormat orang tu
malah boleh bercakap secara baik dan bukanya secara kasar.” Sambung Fariz.
Mereka terus berlari dari situ.
Lintang pukang jadinya. Jika bercakap
pasal agama, pasal Nabi, Jidin terus gelabah. Takut! Fariz masih sinis melihat
insan yang tak beradab di hadapannya itu. Kayu beruti di tangannya terlepas.
Lutut Fariz rebah ke jalan. Dia sudah tertunduk lalu mengenggam batu-batu kecil jalan. Gugur
setitis air matanya. Kedengaran esakan tangisannya.
“Kenapa aku diduga sebegini, Ya
Allah?”
Air mata jatuh ke jalan. Dari mana
dia memerlukan semangat yang baru untuk teruskan hidup? Kepada siapa dia hendak
mengadu selain ayahnya? Siapa? Dia mula menggeleng perlahan. Tangisan
kedengaran. Sememangnya dia terasa lemah ketika itu.
“Ya Allah. Kuatkanlah
diri hambaMu ini. Aku tak pernah merungut apa yang sudah ditetapkan dalam
hidupku, Ya Allah. Aku tahu takkan ada seorang pun di dunia ni untuk dilahirkan
macam ni. Aku tahu Engkau menyayangiku. Tapi kenapa aku kena terima semua ni?
Kadang-kadang aku tak kuat dan terasa lemah untuk mengharungi hidupku ini. Pahit
terlebih dan manisnya kurang. Apa pun yang terjadi, aku takkan pernah hendak
membenci ayahku sendiri. Aku bersyukur sangat dia sudi menjaga dan membesarkan
aku sehingga ke hari ini.” rintihnya perlahan.
Liyana yang menjadi
pemerhati di sebalik pokok besar sejak tadi terkejut apa yang berlaku di
hadapannya tadi. Dia bagai tidak percaya apa yang didengarinya. Anak luar
nikah? Dia mula tertelan liur. Hidup lelaki di hadapannya itu penuh dengan onak
duri kehidupan. Teramat tajam duri membelit diri. Jikalau dia tidak mengikuti lelaki
itu balik, mungkin dia tidak akan tahu
rahsia kehidupan pahit lelaki itu. Rahsia yang langsung tidak diduga.
Kenapa mesti dia? Ya
Allah. Engkau tabahkanlah hidup lelaki itu. Engkau berikanlah kebahagiaan dalam
hidupnya. Kurangkanlah penderitaan yang ditanggung. Dia tidak bersalah. Dia tidak layak di caci dan di
hina. Apa yang terjadi bukan kehendaknya. Engkau lindungilah dia Ya Allah. Aku
tak sanggup melihat dia menderita dan menjatuhkan air mata. Dia layak hidup
seperti orang lain. Pinta hati Liyana. Lebat air mata yang jatuh. Liyana
benar-benar tidak sanggup melihat keadaan
lelaki itu lagi.
Liyana sudah menyidai
kain tuala. Dia termenung. Peristiwa siang tadi masih segar di benak fikiran. Tak boleh
lupa. Entah kenapa asyik bermain saja di layar mata.
“Ini memang hot issue. Meletup habis! Kau nak tahu tak?!
Yang paling aku terkejut, aku dengar kau ni anak luar nikah. Betul ke? Bapak
kau buat hubungan sulit? Tak kahwin lagi
kan? Ish! Orang jenis apa macam tu. Nampak baik tapi…. malaslah aku nak cakap. Asyik
menjadi buah mulut orang aje. Kasihankan kau! Kau ni adalah hasil nafsu
keseronokan bapak dan mak kau dulu!”
Itu semua derita.
Perit untuk diingati
apatahlagi didengar.
Kata-kata lelaki yang
sudah boleh dianggap penyangak itu masih kedengaran di cuping telinga.
Berkali-kali suara itu berputar. Dia sudah memejam matanya sekejap dan seakan
boleh merasai penderitaan lelaki yang masih tidak diketahui namanya lagi.
“Siapakah dia?”
Liyana menggeleng perlahan.
Jikalau boleh detik itu, dia hendak pergi ke rumah lelaki itu lagi. Hendak mengetahui
keadaannya. Risau pula. Manalah tahu lelaki itu masih dalam keadaan tertekan. Macam-macam
hal boleh terjadi kalau dah tertekan. Dia mengangguk. Fikir positif!
“Ya! Memang aku ni anak
luar nikah! Memang bapak aku tak kahwin! Puas? Tapi kau tak berhak nak kacau
hidup kami berdua! Kau bukan Tuhan yang boleh nak menghukum aku. Hanya Tuhan
yang berhak mengadili hambaNya. Jangan disangka orang yang lahir dari latar
belakang yang buruk, tak sempurna dan tak layak untuk hidup.”
Liyana duduk di birai katil. Dia sudah tertunduk.
Gugur beberapa titis air mata apabila
mengenangkan nasib lelaki itu. Esok dan hari seterusnya macam manalah nasib
insan tersebut. Entah bernasib baik atau tidak. Mungkin lelaki yang dikira
penyangak itu datang lagi hendak menganggu. Apalah rancangan yang hendak dibuat.
Dia tak dapat bayangkan. Sejujurnya dia tidak tegar melihat lelaki itu dalam kesedihan.
Terlalu sukar hendak
membandingkan apa yang telah terjadi. Jika yang lepas dia menatap senyuman
lelaki itu, kini dia melihat pula tangisan yang dikeluarkan oleh lelaki itu. Adakah
Allah telah merancang semua itu untuk dirinya? Supaya menolong orang lain? Dia memang
tidak kisah hendak menolang orang lain tapi bagaimana caranya? Otak memikir.
Jangan disangka disebalik senyuman yang menggaris di bibir, tiada episod hidup
lain.
Episod penderitaan!
Liyana pantas menyeka
air mata. Dia sudah memandang ke hadapan. Kejadian di Watsons terimbas kembali
di ruang fikiran. Perjumpaan yang turut tidak diduga.
“Kenapa?” soal Liyana.
Fariz masih terdiam. Dia
terkejut dengan kehadiran perempuan di hadapannya itu.
Mimpi? Dia menggeleng
perlahan. Bukan mimpi.
“Apa awak buat ni?” soal
Fariz.
“Pura-pura tak tahu?”
“Maksud saya…”
“Ish! Kasihankan awak
ni! Mata awak tu okay ke tak? Kalau tak okay, lepas ni awak pergi jumpa doktor
mata. Suruh doktor tu perbetulkan biji mata awak tu. Manalah tahu biji mata
perang awak tu senget sebelah! Juling aje mata tu.”
“Saya…”
“Tu! Duit dalam poket
baju awak tu, awak simpan aje! Saya teramat pasti ada banyak hal lain yang awak
nak buat dengan duit tu. Cukup aje untuk awak tahu, saya ikhlas dan bukannya
nak menunjuk-nunjuk. Faham?!”
Garang pula si Liyana
ni. Tak boleh nak bercakap berlembut sikit. Sengajalah nak buat lelaki itu takut.
Dalam hati, dia bersorak gembira kerana dapat berjumpa dengan lelaki itu lagi. Ingatkan
tak dapat berjumpa lagi. Tidak dapat berjumpa di hospital, berjumpa di Watsons pula. Allah memang hendak
menunaikan hajatnya untuk bertemu dengan lelaki yang menerima darahnya.
Terima kasih Ya Allah
sebab kau pertemukan aku lagi dengan dia. Ucap suara hati Liyana.
Liyana sudah memandang
atas bawah tubuh lelaki itu. Dia berasa lega kerana keadaan lelaki di hadapannya itu sudah beransur pulih
dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Sekuntum senyuman nipis terlakar
di wajah.
Syukurlah awak tak ada
apa-apa. Lega saya tengok keadaan awak sekarang ni. Dapat juga saya tengok awakkan.
Taklah saya risau lepas ni. Tengok awak sihat macam ni pun dah buat saya gembira. Tak payahlah awak tahu
siapa yang mendermakan darah dekat awak. Saya rasa gembira sangat dapat tolong
awak. Saya pun tak tahu kenapa saya boleh rasa macam tu. Disebabkan awak juga,
saya cekalkan jiwa saya untuk mendermakan darah saya dekat awak. Kalau awak nak
tahu, saya takut jarum. Tahu tak! Takut sangat! Saya rela diri saya disuntik
jarum demi awak. Demi awak! Saya tak boleh tengok orang dalam keadaan susah.
Bisik hati Liyana lagi.
Fariz perasan perempuan
di hadapannya itu asyik melihatnya saja. Tersenyum pula tu. Ada apa-apa yang
tak kena? Malu pula dia ketika itu.
Tengok orang tu mata tak berkelip langsung. Dah macam patung dekat kedai baju
sebelah Watsons ni saja. Dia sudah berdehem.
“Ehem... Ehem...”
Terus mati lamunan
sekejap Liyana. Dia mengawal riak muka sehabis baik dan berlagak tenang.
“Ken.. kenapa?”
“Awak okay tak?”
“Okay. Kenapa tanya?”
“Saya tengok macam tak
okay aje.”
“Don’t worry. Saya…”
“Terima kasih.”
“Hah?”
Fariz tersenyum. Liyana
terpana lagi. Lelaki itu senyum? Di depannya?
“Untuk?” Tahan saja rasa
gugup dalam diri.
“Awak ada jawapannya.”
“Jawapan?”
“Tanya diri awak
sendiri.”
“Straight to the point!”
“Boleh saya tanya sikit?”
Liyana pelik. Dia masih
tak faham dengan kata lelaki itu. Terima kasih? Untuk apa pula? Otak tak boleh
fikir. Aduh! Dia memang tak dapat jawapan. Ini hendak bertanya kepadanya pula. Lelaki
itu misteri juga. Kenapa jadi baik? Takkan dah berubah kut.
Mungkin…
Liyana tersentak. Takkan
disebabkan darahnya yang mengalir dalam
diri lelaki itu? Darah baik sudah hapuskan sel-sel jahat lelaki itu? Begitu?
Erk!
Perasan baik juga si
Liyana ni.
“Nak tanya apa?”
“Tadi kenapa tengok saya
lain macam aje? Saya ada buat salah? Saya nampak pelik?”
“Ish! Mana ada saya tengok
awak. Perasannya awak ni!”
“Ya ke? Macam tak aje.”
“Nak
saya beli Watsons ni ke baru awak percaya?”
“Boleh ke?”
Liyana geram pula. Lelaki
itu mengenakan dirinya pula. Fariz tersenyum lagi.
Sekali lagi?!
Liyana terpana dek
lontaran senyuman comel lelaki itu.
“Tolonglah jangan jadi mat perasan! Saya tak sukalah
orang yang kuat perasan ni. Tu hah! Saya tengok kat belakang awak tu!” tunjuk
Liyana ke belakang lelaki itu. Gelabah sekejap.
Berkerut dahi Fariz dan
menoleh ke belakang. Seorang lelaki botak berkaca mata sedang tersenyum. Sempat lagi dia mengenyit
mata kepada Liyana. Liyana terasa hendak
muntah saja. Silap sasaran. Menyesal tak sudah! Lelaki gatal rupanya. Bulat
mata Fariz. Tak percaya.
“Kenal?” soal Fariz.
“Tak.”
“So?”
“Tertarik.”
Fariz tertelan liur
sedikit kesat. Dia tak silap dengar ke?
Tak
ada taste langsung! Memang suka
lelaki jenis botak ke apa! Teruk! Aku
lagi okay. Ejek hati Fariz.
Berderau darah Liyana apabila
lelaki itu berbuat begitu. Liyana terus memandang ke tempat lain. Kening kanan
Fariz dinaikkan lalu memandang ke hadapan semula. Terbit rasa cemburu di hati
Fariz kala itu.
Cemburu?
Tiba-tiba saja Fariz merasa begitu. Fariz
pun bingung. Dia sendiri pun tidak faham apa sudah terjadi kepada diri dia.
Sudah tak betul agaknya! Yalah suka pada orang yang baru dikenali. Nama pun
tidak tahu, sudah mula merasa suka. Merepek! Mahu kena ketuk kepala nanti kalau
perempuan tu tahu. Mimpi ngeri tahu tak! Tak tidur malam dibuatnya nanti.
Kurang ajar punya
jantan! Suka hati aje kau beri senyum karat kau tu dekat perempuan depan aku ni!
Kalau handsome tak apa lah juga. Ini dah
lah botak. Serupa macam askar pencen je. Huh! Nak aje aku lebamkan mata kau tu!
Bukan sebelah mata aje aku bagi, kedua-dua mata kau aku lebamkan! Biar bagi
macam mata panda sikit. Baru kau tahu siapa Fariz Aiman yang sebenarnya. Ish!
Sakit pulak hati aku ni! Geram hati Fariz.
Pulak!
Tak puas hati nampak si
Fariz ni.
“Kenapa mesti lelaki tu?”
“Aik! Dah jadi macam
pegawai penjara pulak!”
“Saya tak boleh tanya
ke?”
“Ini mesti ada sebab?”
“Kenapa mesti lelaki tu?”
“Saya tak boleh tengok
dia? Tak salahkan kalau saya tengok dia. Lagi pun saya ni single lagi. Naklah
rasa juga macam mana ada teman lelaki. Lelaki tu pun boleh tahan. Okaylah tu! Botak
pun botaklah. Manalah tahu kalau dia tu jodoh saya. Saya terima aje. Taklah
bosan hidup saya nanti.” Liyana sudah buat muka seposennya. Sengaja dia hendak mengenakan
lelaki itu. Dia mahu tahu reaksi lelaki itu bagaimana.
Suka?
Nak menguji aje. Manalah
tahu kalau lelaki itu… Liyana ni memang kuat berangan. Mengharapkan Fariz
menyukainya pula. Sakit hati pula Fariz mendengarnya. Memanglah dasar perempuan
miang! Kelat wajah Fariz.
“Okay. Suka hati.”
Bulat mata Liyana. Tak
percaya.
Kau cakap suka hati? Kau
ni tak ada perasaan ke apa! Ujar hatinya.
“Betul ni?”
“Ya. Pergilah. That’s your choice. Saya hanya mampu
tengok.”
“Tak nak…”
“Halang?”
“Maybe.”
“Jangan nak perasanlah.”
“Apa awak cakap?” geram
pula Liyana.
Rasa mahu diketuk-ketuk
saja kepala Fariz. Hati batu betul!
“Siapa sayakan nak halang awak untuk tengok lelaki tu kan. This public. Sebelum terlupa, sekali
lagi saya nak ucapkan terima kasih sebab dah bayarkan barang saya ni. Ini jawapan
saya yang tergantung tadi. Saya tak minta pun awak bayarkan. Hari ni memang
tuah saya. Rezeki takkan nak ditolak pulakkan. Bukan selalu dapat peluang macam
ni.” Muka sedikit kelat.
Rasa cemburu masih berbekas di
hati. Anak matanya sudah curi-curi pandang ke belakang melihat lelaki itu.
Asyik tersenyum aje. Bertambah sakit hatinya melihat tingkah lelaki itu. Kalau
dah tak mampu menahan rasa marah dan geram, sudah lama dia menghadiahkan tumbukan dekat muka lelaki itu.
Liyana tersenyum lagi terhadap lelaki botak itu. Saja dia mahu berapikan
lagi si Fariz. Baru puas hati! Bertambah sakit mata Fariz melihat Liyana
tersenyum kepada lelaki itu. Boleh jadi gila jikalau dia lebih lama di situ.
Dasar perempuan miang! Ujar
hati Fariz.
Liyana curi-curi pandang
ke muka Fariz. Dia dapat mengagak sesuatu. Apasal muka tu berkerut aje. Takkan
cemburu kut! Muka tu macam kena telan panadol actifast aje. Merah aje! Hee.... Dia
suka aku ke? Ish! Kalau betullah, memang aku dapat durian runtuhlah hari ni. Gembira tak terkata! Mata tu dah ala-ala Brad Pit. Handsome sangat! Memanglah aku dah tak betul. Siap puji lelaki ni
dan boleh rasa suka pulak. Liyana oi! You
are crazy love. Bebel hatinya.
Fariz sudah pandang ke
hadapan. Terus mati senyuman Liyana. Dia buat muka seriusnya.
“Kenapa tengok saya
macam nak makan orang aje? Tengok biasa-biasa aje tak boleh ke?” gagap pula si
Liyana ni. Rasa gemuruh. Itu yang penyakit gagap datang.
“Saya balik dulu.” Fariz terus berlalu dari situ.
Liyana tercengang.
“Balik?”
Tak puas nak berbual
lagi walaupun macam anjing dengan kucing tadi. Pintu dikuak. Liyana terus
mengatur beberapa langkah. Perjalanan Fariz terhenti apalah satu suara mengetuk
gegendang telinga.
“Nama awak siapa?” soal
Liyana.
“Tak penting!”
“Aik! Peliknya namanya!”
“No joke!”
“Laaa…”
Fariz
masih menahan geram. Lelaki botak tu
punya pasal! Sengal melampau! Semakin lama dia melihat lelaki yang terlebih dos
tu, makin sengsara dan merana jiwanya. Dia menyambung kembali langkahnya.
Dihentak kuat dalam perjalanannya itu. Sempat lagi dia menjeling tajam ke arah lelaki tadi yang berada di dalam
kedai. Rasa nak hentak aje kepala lelaki tu dengan kayu ping pong. Jadi biskut
cap ping pong sana. Biar berdengung!
Liyana berdecit.
“Ceh! Tak nak beritahu. Tak
apa! Macamlah nama kau tu glamour sangat sampai susah nak beritahu aku. Ingat
kau tu artis ke apa! Huh! Lambat-laun nanti aku tahu jugak. Tunggu aje lah mamat
rambut cappuccino dan mata Brat Pitt. Ini Liyana Damia lah. Aku akan
dapatkan apa yang aku nak.” Langkahnya mula di atur setapak dan terhenti. Bagai
ada magnet menariknya ke kanan. Liyana menoleh.
Gulp!
Lelaki tadi masih melihatnya
sambil tersenyum. Dilambai pula kepadanya. Liyana terus menjelir lidah terhadap
lelaki itu dan mengatur langkah laju
keluar dari kedai.
“Sengal punya jantan!
Ingat kau kacak sangat ke apa! Wek! Dahlah botak! Rambut seciput aje! Tak nak
lah aku lelaki macam kau! Kau bukan taste
aku! Gggrrr… taste aku macam Brad Pit.
Tahu!”
Fariz duduk di pangkin rumah. Pada malam itu banyak
betul angin bertiup. Dia betul-betul tidak faham apa yang dirasainya siang
tadi. Itu semua merepek!
“Aku ni dah gila ke apa!
Ish! Mengarutlah!”
Geleng perlahan.
Wajahnya diraup.
“Cemburu? Itu ke dinamakan
cemburu?”
Geleng lagi.
Buntu!
“Kenapa aku nak rasa
cemburu pulak masa tu? Memanglah aku ni dah tak betul! Perempuan berlagak macam anak VVIP tu, aku boleh jatuh suka. Memang tahap sengal ke
empat belaslah aku ni! Dahlah perempuan tu aku tak kenal. Nama pun tak tahu.
Perempuan tu dah macam makhluk asing yang datang dari planet mana pun aku tak
tahu! Tiba-tiba aje muncul dalam hidup aku.”
Fariz mengeluh pula. Di layar
mata muncul pula bayangan perempuan itu.
“Pertama kali aku jumpa
dia pun masa dekat kedai coolblog tu. Itu pun asyik nak bertikam lidah aje! Aku cakap sikit, panjang
berjelar macam keretapi jawabnya. Sakit telinga aku ni! Banyak makan tonggeng
ayamlah tu! Gggrrr.... Pok pek pok pek aje!”
Sakit pulak hatinya
apabila mengingati peristiwa tersebut. Buat malu aje terhadap kakak yang bekerja di kedai coolblog tu. Buat kecoh pula. Ditebalkan saja mukanya. Wajah
diraup perlahan. Senyuman perempuan itu terus bermain di benak fikiran.
“Dah mereng aku ni!”
“Kau suka dia, Fariz oi!”
bisik satu suara.
“Tak!”
“Kau suka dia.”
“Tak!”
“Ya!”
“Kau…”
“Stop! Jangan nak merepek lagi! Aku tak nak dengar!”
Dada langit di pandang.
Langsung tiada kelibat bintang yang ditemui. Yang ada hanyalah deruan sang
angin. Sejuk pula deruan angin. Macam hendak hujan saja.
“Senyum dia tu. Ada
apalah dengan senyum dia. Tak tahu kenapa, aku suka sangat tengok senyum dia.
Kenapa aku tak boleh melupakan senyum dia? Susah betul! Sejak aku balik tadi
sampai sekarang, asyik teringat aje. Bila aku tengok dia, jantung aku ni macam dah nak terkeluar aje.”
Fariz sudah menggeleng
kuat lalu dibaringnya pula. Langit malam masih menjadi santapan penglihatannya.
“Buat apalah aku nak
teringat dekat makhluk asing berkuku merah jambu tu! Macam orang tak matang aje!
Ya! Memang tak matang. Ada ke patut diwarnakan kuku tu. Ingat cantik sangatlah tu
kalau buat macam tu. Ini mesti dah berangan nak jadi model kuku. Model tak laku
adalah. Huh! Itu yang syok sendiri!” tubuh Fariz menghadap ke sebelah kiri.
Jarinya mula merayap ke
badan papan. Apa yang ditulis pun tak tahu.
“Aku yang tengoknya pun
dah rasa nak muntah apatah lagi kalau orang lain tengok dia. Tak kena langsung!
Apa orang lain buat, sibuk nak buat. Terpengaruh sangat dengan hal duniawi!
Kalau kau tu cantik macam awek Korea,
tak apalah juga! Berselera jugaklah aku nak tengok kau! Ini dah macam….”
merungut Fariz pula. Biarlah ayat tergantung. Tak sanggup nak sambung. Dia
sudah buat muka meluatnya.
C.I.N.T.A
Tanpa sedar, Fariz
menulis perkataan tersebut. Dia tersenyum lebar.
“Aku harap selepas ni
dah takkan jumpa dengan perempuan tu
lagi. Buat sesakkan otak aku aje. Perempuan sengal!” Fariz baring seperti
biasa. Satu hembusan nafas dilepaskan perlahan.
Ceh!
Sengal konon!
Yang tulis perkataan
cinta tu kenapa. Siap senyum-senyum lagi. Bukan ke diri tu dah jatuh cinta? Saja tak nak mengaku.
Poyo betul!
“Daripada aku fikir
perempuan pelik tu, lebih baik aku fikirkan siapa yang mendermakan darah dekat
aku! Ada faedahnya jugak. Baik hati betul orang yang mendermakan darah tu untuk
aku. Hanya Allah aje yang dapat membalas kebaikan dia. Bilalah aku dapat berjumpa
dengan dia.” ujarnya perlahan.
Mata dipejam rapat.
Sedap pula dirinya dirempuh angin malam. Terasa nyaman dan tenang aje.
“Cantik tak dia?”
“Memang cantik.” Bisik suara
itu lagi.
“Ya ke?”
“Sekali kau tengok, kau
akan terpegun.”
“Cantik macam siapa?”
“Liyana Damia.”
“Hah?!” mata dibuka.
“Siapa pulak dia tu?”
Sepi!
Tak ada jawapan.
No comments:
Post a Comment