Liyana sudah
pegang tombol pintu bilik lalu memandang wajah papanya sekejap. Kamarul hanya
tersenyum sahaja dan mengangguk perlahan. Liyana sedikit gusar. Masuk sahaja ke
pintu masuk hospital tadi, Liyana sudah
rasa berdebar-debar. Entah kenapa dia berasa begitu. Dia sendiri pun tidak tahu
kenapa. Ditahan saja rasa debarannya itu.
Tarik nafas, hembuskan
nafas.
Bertenang!
“Bertenang, sayang.”
Ujar Kamarul.
“Yana cuba.”
Tombol pintu dipusing.
Sebaik saja kaki menjejak masuk ke dalam
bilik, Liyana sudah memandang ke
hadapan. Dia sedikit terkejut. Kenapa tak
ada? Kamarul yang berada di belakang anaknya pelik. Liyana sudah pandang
papanya dan hanya menjungkit bahu.
“Mana dia?” soal
Kamarul.
“Entah. Yana takkan
silap.”
“Yana pasti?”
“Inilah bilik dia.”
Liyana memandang katil
yang kelihatan kemas itu. Kain selimut dan bantal dalam keadaan seperti biasa.
Macam tak pernah diduduki oleh sesiapa pun.
“Dia dah balik ke, pa?
Takkanlah dia dah balik. Kita tak jumpa dia lagi pun.” luah Liyana sedikit kecewa.
“Manalah tahu ini bilik
orang lain.”
“Yana pasti pa. Ini
memang bilik dia. Doktor pun ada cakap ini bilik dia. Yana takkan silap. Tapi
pa kalau dia balik, kenapa dia balik awal sangat? Dia dah dapat agak ke yang
kita nak jumpa dia? Sebab tu dia balik? Dia tak nak jumpa kita?”
Kamarul tersenyum nipis
lalu memeluk bahu anaknya sedikit erat.
“Kita tanya doktor dulu.
Okay?”
Lambat Liyana hendak
mengangguk. Kenapa lelaki itu balik? Dia tetap merasakan lelaki itu sudah
keluar dari hospital. Tak mungkin pergi bersiar-siar di luar.
“Yana jangan risaulah.
Lambat atau cepat kita mesti dapat
berjumpa dengan dia. Kalau betullah dia dah balik, mungkin belum tiba
masanya lagi untuk papa berjumpa dengan dia. Apa yang perlu kita buat sekarang
adalah kita mendoakan kesihatan dan keselamatan dia. Kita minta kepada Allah
supaya melindungi dia. Apa yang Yana kena ingat, pertolongan Yana yang
diberikan dekat dia tu, kena ikhlas. Bila ikhlas, akan diredhai oleh Allah.”
Liyana tersenyum nipis.
“KL bukan kecil, pa.”
“Itu papa tahu.
Janganlah sedih sangat.”
“Yana teringin sangat
nak jumpa dia. Yana…”
“Sayang…”
Muka papanya dilihat.
Mata mula berkaca-kaca.
“Lelaki itu mesti berterima
kasih dekat anak papa ni. Yana dah selamatkan nyawa dia. Kita cuba fikir
positif. Mungkin dia ada hal, itu yang dia kena keluar awal. Kita tak tahu apa
masalah dia. Jadi kita kena terima semua ni dengan ikhlas. Jangan merungut!”
Liyana mengangguk lemah.
Untung benar si Liyana mendapat seorang ayah yang teramat memahami dirinya.
Tidak henti-henti Kamarul melimpah kasih sayangnya terhadap Liyana. Bila dia
teringin hendak berjumpa dengan lelaki itu, tiada pula orangnya. Di mana lagi
dia harus mencari lelaki itu? Buntu pula. Sekali lagi dia berfikir, Kuala Lumpur bukan kecil tempatnya tapi besar.
Jalan sudahlah bersimpang-siur. Banyak papan tanda. Kawasan taman perumahan dan
perkampungan sudahlah banyak. Pening hendak mencari.
Kenapa kau pergi terlalu awal? Aku teringin
sangat nak jumpa kau. Aku nak minta maaf. Aku nak pastikan kau sihat seperti
biasa. Aku takkan pernah menyesal memberi
darah aku dekat kau malah aku ikhlas
memberinya. Aku harap kau baik-baik saja dekat mana pun kau berada. Aku
berharap sangat aku dapat berjumpa dengan kau lagi. Bisik hati Liyana.
Kamarul masih memeluk
bahu anaknya itu. Mereka sudah menoleh ke belakang untuk keluar dari bilik
tersebut. Elok saja dia melangkah setapak, muncul seorang jururawat di muka
pintu. Kamarul dan Liyana sedikit terkejut. Pandangan mereka terpaku pada jururawat
tersebut.
Liyana tersentak.
“Nurse…” panggilnya.
“Ya, saya. Ada apa?”
“Boleh saya tanya sikit?”
“Tanyalah. Kalau boleh
saya bantu, saya bantu.”
“Mana pesakit dekat
bilik ni? Discharge?”
Jururawat itu hanya
tersenyum. Patutlah muka insan di hadapannya itu kelihatan resah saja.
“Oh. Pesakit ni baru aje
balik tadi. Dia balik dengan ayah dia. Ikutkan doktor, dia tak boleh balik lagi
tapi pesakit mendesak nak balik juga. Kami tak boleh buat apa-apa kalau itu kehendak pesakit sendiri.” jelas
jururawat tersebut.
“Nurse ada tanya kenapa dia nak balik?”
“Maaf. Itu saya tak
tahu.”
Hampa!
Liyana mengangguk
perlahan. Belum sempat dia hendak membuka mulut, jururawat tersebut mendahului
dengan percakapannya. Lebih baik dia bertanya. Kalau tak, rasa ragu-ragu saja. Tidak
salah jikalau bertanya.
“Kalau Cik tak kisah,
saya nak tanya sikit boleh?”
“Nak tanya apa?”
“Kalau
tak silap adik ni kan yang derma darah dekat pesakit? Betul tak?”
Liyana yang mendengarnya
sedikit pelik. Setahunya semalam dia tak ternampak pun jururawat tersebut. Dia pasti.
Macam mana jururawat itu boleh mengenalinya? Lambat dia mengangguk. Kamarul
sekadar menjadi pemerhati saja.
“Kenapa ya? Ada apa-apa
yang tak kena ke?”
“Saya ada sesuatu untuk
Cik.”
“Sesuatu?”
Jururawat tersebut sudah
menghulurkan sepucuk surat kepada Liyana. Liyana yang melihatnya tidak
mengerti. Surat apa pula? Takkan ada jururawat lelaki yang hendak menguratnya
kut. Semalam ada seorang jururawat lelaki yang boleh tahan kacaknya. Asyik tengoknya
saja. Macamlah dia tak tahu apa maksudnya. Takkan lelaki itu kut yang
memberinya surat. Ish! Dijauhkanlah. Bermain cinta menyakitkan. Dia sudah
melihat papanya. Kamarul hanya mengangguk.
“Sebelum pesakit balik,
dia ada berpesan dekat saya supaya beri surat ni dekat orang yang derma darah
dekat dia. Saya tak tahulah apa isi kandungannya. Saya cuma menjalankan tugas
untuk menyerahkan surat ini kepada
adik. Kalau adik cepat sikit tadi mesti adik dapat berjumpa dengan dia. Kalau
tidak pun mesti adik berselisih dengan dia. Saya tengok keadaan dia tadi pun,
rasa kasihan pulak. Muka dia pucat. Saya takut terjadi apa-apa dekat dia nanti.” jelas
jururawat berkulit putih itu.
Surat itu diambil. Anak
mata Liyana sudah terarah pada surat tersebut. Dia rasa berdebar semacam untuk
mengetahui isi kandungan surat tersebut. Takkan ada amanat kut. Kalau amanat,
tentang apa pula? Liyana mula menyoal akal.
Mungkinkah lelaki itu
memberi alamat rumah kepadanya? Nombor telefon? Facebook? Twitter? Mata Liyana sedikit membesar. Jikalau betul,
senanglah dia hendak mencari lelaki itu nanti.
“Kalau macam tu, saya
pergi dulu. Assalamualaikum.” ucap jururawat itu lagi lalu beredar dari situ.
“Terima kasih, nurse.”
“Sama-sama.”
“Bukalah. Manalah tahu
lelaki tu ada sesuatu nak cakap dengan Yana. Papa nak tahu jugak. Mungkin dia
ada beri alamat rumah dia kan. Atau pun nombor telefon dia. Senang sikit kita
nak cari dia.” duga Kamarul.
Liyana terus buka
lipatan kertas tersebut. Cantik betul tulisan lelaki itu. Kemas sahaja. Ini dah
macam tulisan berangkai aje gayanya. Dari segi tulisannya pun, dia sudah jatuh
hati dekat lelaki itu. Susah hendak mencari lelaki yang tulisannya cantik
seperti itu.
Orang kata kalau lelaki
tulisannya cantik, orangnya baik. Betul ke?
Kebenarannya Liyana
masih tidak dapat. Susah hendak percaya.
Assalamualaikum.
Kepada yang berkenaan.
Saya nak mengucapkan ribuan terima kasih kepada cik yang sudi mendermakan darah
kepada saya. Mungkin kalau ketiadaan cik masa tu, mungkin pada hari ini saya
tidak berpeluang untuk bernafas lagi di muka bumi ini lagi. Saya pun tak
berpeluang menulis surat ini kepada cik. Maaflah jika tulisan saya ni tidak
cantik dan menyemakkan mata cik untuk membaca.
Saya memang tak kenal
cik. Mungkin cik pun tak kenal saya. Bila saya dapat tahu daripada ayah saya yang
cik mendermakan darah kepada saya, rasa syukur tak henti-henti saya ucapkan.
Masih ada lagi orang yang baik seperti cik di muka bumi ni yang sudi menolong
orang macam saya ni. Hanya Allah aje yang dapat membalas segala jasa baik cik.
Bukan senang nak jumpa orang yang macam cik. Saya tahu cik memang seorang yang
baik.
Apabila cik baca surat
ini mesti cik datang melawat saya. Saya mintak maaf jika cik datang tak dapat
berjumpa dengan saya. Saya bukannya hendak mengelak atau tak mengenang jasa
baik cik, tapi saya ada masalah yang hendak diselesaikan. Saya pun kalau boleh
teringin sangat hendak berjumpa dengan cik dan mengucapkan terima kasih dekat
cik. Mungkin belum ada rezeki untuk kita bersua muka. Inshaa Allah kalau kita
dipertemukan pada masa akan datang, cik tegurlah saya. Saya tak pernah nampak
cik dan hanya cik yang kenal saya. Cik memang
seorang yang baik hati.
Saya mintak cik halalkan
darah cik yang mengalir dalam tubuh saya sekarang ni. Saya terhutang nyawa
dekat cik. Semoga Allah memberkati hidup cik dan keluarga. Okaylah. Saya
undurkan diri dulu. Seorang insan yang bagai dapat peluang hidup yang baru.
peluang ini takkan disia-siakan. Saya yakin cik seorang yang cantik di mata
umum. Seorang anak yang baik terhadap ibu bapanya. Saya doakan cik terus kekal
menjadi seorang anak dan insan yang baik di muka bumi Allah ini.
Fariz
Aiman.
“Papa…”
“Sabar ya, sayang.”
“Dia memang seorang
lelaki yang baik.”
“Anak papa pun baik
orangnya.”
Liyana tidak berkutik.
Bergenang air mata di tubir mata. Kamarul memeluk kembali bahu anaknya lalu
mengatur langkah keluar dari bilik tersebut. Dalam perjalanannya itu, Liyana
hanya terdiam saja. Surat itu masih dipegang. Kamarul pun turut terdiam. Apa
yang tertulis dalam surat itu pun, matanya sempat melirik untuk
membacanya. Kamarul dapat memahami
perasaan Liyana. Sedih menjadi kepastiannya.
Keluar saja dari perut
kereta, Liyana sudah memandang papanya.
“Kamu nak pergi mana? Kata
nak pergi sarapan.” Soal Kamarul.
“Yana nak pergi Watsons
sekejap. Ada nak beli barang sikit. Nanti kalau Yana dah siap beli barang, Yana
telefon papa. Macam biasa.”
“Lama?”
“Sekejap aje.”
“Hati-hati.”
“Papa jangan risaulah.
Yana pandai jaga diri.”
“Kalau lambat, papa
tinggal.” Sempat lagi mengenakan anaknya.
Liyana sudah buat thumbs up. Langkah mula diatur untuk melintas ke seberang jalan. Kedai yang
hendak ditujunya tidak jauh dari situ. Tidak sampai lima ratus meter pun. Kamarul
pun sudah mengatur langkah. Jejaknya pun tidak tahu ke mana. Hilangkan bosan agaknya.
Sampai saja di depan
Watsons, jantung Liyana mula berdetak
kencang. Datang lagi rasanya itu. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa.
“Dah mula jantung aku ni
buat hal. Tiba-tiba nak ber dup dap aje. Ish! Elakkanlah hal-hal yang tak
diingini. Masuk Watsons aje kut. Bukannya masuk rumah hantu. Hampeh betul kau
Liyana oi! Rileks!” Satu helaan dilepaskan perlahan.
Pintu dikuak dan terus menuju ke
belakang kedai. Sempat lagi dia membelek produk-produk yang berjenama Loreal
Paris di situ. Berkenan sungguh dia melihat produk semua tu. Macam hendak beli
semua saja. Akhirnya dia mengambil bedak compact. Punyalah dibelek lama-lama
dekat situ, itu saja yang diambilnya. Apa pun tak boleh, si Liyana ni.
Gaya saja lebih!
Kaunter pembayaran
menjadi hala tuju yang seterusnya. Liyana mendongak saja kepalanya ke depan,
langkahnya terhenti. Jantungnya mula berdetak kencang kembali. Matanya tidak
berkelip.
“Berapa semuanya kak?”
soal Lelaki itu.
“RM 20.00 dik.”
Lelaki itu hanya
tersenyum lalu mengambil duit dalam beg duitnya. Lusuh benar beg duitnya. Sampai
sudah terkoyak. Lembik saja stuktur beg duit lelaki itu. Sayu hati Liyana
melihatnya. Sebak! Sayu! Semua tu dirasai oleh Liyana.
“Ada member card?”
soal pekerja itu lagi.
Lelaki itu hanya
menggeleng. “Tak ada.”
Liyana macam tidak
percaya dengan apa yang sedang dilihatnya ketika itu. Ternyata lelaki itu
bukanlah dari golongan yang senang. Pakaian biasa aje. Struktur beg duitnya memberi
jawapan yang tepat. Habis tu penampilan lelaki tu semalam? Bergaya habis! Macam
orang banyak duit. Takkan lelaki itu menyamar menjadi orang susah pula. Kalau betul,
apa sebabnya?
Tanda tanya!
“Dia…”
Liyana menggeleng
perlahan. Tidak percaya!
“Ish! Takkanlah….”
Tak mungkin lelaki itu. Memandai
saja membuat kesimpulan. Langkah diundur beberapa langkah. Liyana mahu melihat
dari jauh. Takut pula tersalah orang. Mahukan kepastian.
“Betul ke itu dia?”
Dari hujung rambut
sampai ke hujung kaki, Liyana melihat tubuh insan di depannya itu. Dia
tersentak. Pandangannya terpaku pada rambut insan tersebut. Macam kenal. Tak mungkin
silap. Pasti!
“Hah! Rambut karat. Pendek!”
Liyana baru teringat
bagaimana rupa lelaki yang dijumpai di kedai coolblog tempoh hari. Sah! Dia takkan
salah orang. Rambut karat tu takkan boleh dilupainya. Rambut itu juga menjadi
bahan kutukannya. Disangkakan diwarnakan tapi asli. Sehingga ke detik itu, dia
sukar hendak percaya. Jarang orang
melayu, sejak azali lagi rambut berwarna perang. Mamat cappuccino rambut karat.
Kaki terus diorak ke hadapan.
“Tunggu kak.” pinta
Liyana.
Pekerja tersebut
terhenti dari menekan butang. Dia terus melihat ke hadapannya.
“Kenapa dik?” soalnya.
“Saya bayarkan.”
“Nak bayarkan?”
“Akak janganlah tengok
saya macam tu. Saya serius.” Liyana tersenyum lebar.
Fariz sudah melihat di
sebelahnya. Bulat matanya melihat kehadiran insan yang tidak diduga ketika itu. Dia macam tidak percaya yang dia
berjumpa dengan perempuan itu lagi. Perempuan yang dijumpainya semalam di kedai
Coolblog. Rasa menyampah pun ada juga. Tapi…
Entah kenapa jantungnya
mula beroperasi laju. Mulutnya masih terdiam. Rasa terkejut masih tidak hilang.
Perempuan cappuccino berlagak! Mulut tak
ada insurans!
“Akak ambil duit ni.
Duit tadi tu bagi dekat saya.” suruh Liyana dan meletakkan duitnya di atas
kaunter.
“Betul ke ni?”
“Ya. Akak ambil aje duit
ni.”
Pekerja tersebut terus
memberi duit milik lelaki itu di hadapannya
dan Liyana menerimanya diiringi dengan sekuntum senyuman.
“Terima kasih, kak.”
Lelaki di sebelahnya
dilihat. Fariz masih terpinga-pinga.
“Awak buat apa ni?”
“Nak main jutaria.”
“Hah?!”
“Kelakar tak?”
“Saya…”
“Awak ambil balik duit
awak ni. Awak simpan aje! Saya belanja. Saya ikhlas. Awak jangan nak tanya saya
kenapa. Kalau awak tanya jugak, saya takkan jawab. Saya ambik serbuk cappuccino,
terus tuang dekat kepala awak. Bertambah pekat perang rambut awak tu.” ujar
Liyana serius dan terus memasukkan duit milik lelaki itu ke dalam poket baju.
Fariz masih terdiam. Dalam
poket bajunya? Dia hanya membiarkan perempuan itu berbuat begitu. Liyana membayar
barang kepunyaannya pula. Ambil saja duit baki, dia terus memandang Fariz. Anak
mata mereka bertaut sesama mereka. Jantung mereka bertambah laju. Apakah
tandanya?
“Kenapa?” soal Liyana.
“Kenapa awak…”
“Pelik?”
“Sikit.”
“Jumpa secara tak
sengajakan. So, how are you?”
Fariz membatu. Tidak
berkelip dia melihat perempuan di hadapannya itu.
“Maaf. Saya tak sengaja.”
“Tak. Saya yang salah.” Ujar
Kamarul pula.
Lelaki itu terus
mengambil surat khabar yang jatuh di dada jalan. Kamarul hanya tersenyum nipis
lalu mengambil surat khabar miliknya juga yang jatuh.
“Sekali lagi saya minta
maaf. Saya dah terlanggar encik. Saya akan bayar ganti rugi kalau ada apa-apa
barang yang rosak milik encik. Saya betul-betul tak nampak tadi. Salah saya
juga sebab baca surat khabar semasa berjalan. Sekali lagi saya minta maaf.”
ujar lelaki itu dengan rasa rendah dirinya.
“Tak payahlah nak minta
maaf. Hal kecil aje.”
“Tapi…”
“Jangan risaulah. Saya okay
aje.”
Tangan kanan Kamarul
sudah memegang bahu lelaki itu.
“Ini semua telah
dirancang.” Ujar Kamarul.
“Dirancang? Saya tak
faham.”
“Ya. Bagi saya setiap
kali saya terjumpa dengan orang yang saya langsung tidak kenal, sama ada secara langsung atau tidak, orang tu
dengan rasminya menjadi kawan saya. Mengeratkan hubungan silaturrahim sesama
kita apatahlagi kita berada di bawah
payung agama yang sama. Ini adalah rancangan Allah. Islam memang agama yang
indah. Indahkan hidup ni?”
“Kawan?”
“Ya! Saya anggap orang
yang berada di depan saya ni adalah kawan saya. Sudi jadi kenalan saya?” sempat
lagi Kamarul melihat penampilan lelaki itu.
Faham!
Rasa kasihan pun ada. Bukan
dari golongan yang senang. Lelaki itu terdiam lagi.
“Saya anggap aje
tak ada apa-apa yang berlaku tadi.
Mungkin salah saya juga tadi. Saya yang tak pandang depan masa jalan tadi. Asyik tengok surat khabar aje.
Tak ada apa-apa yang encik perlu bayar
ganti rugi. Kalau ada pun, saya takkan mintak. Anggap aje ini satu pertemuan
yang tak disengajakan.” ujar Kamarul lagi.
Kamarul sudah memandang
atas bawah lelaki itu. Kali kedua dia melihatnya. Sayu hati. Nampak sedikit
lusuh pada pakaiannya. Lelaki itu hanya memakai selipar jepun saja. Itu pun
sudah kelihatan haus pada tapak. Jika hendak dibandingkan dengan selipar milik
Kamarul, seliparnya jauh lebih baik daripada lelaki itu. Seliparnya seperti
baru beli sahaja.
“Encik.. saya…”
“Kenapa? Tak sudi?”
“Bukan macam tu.”
“Hadiah daripada Allah
untuk kita. Saya dapat kenalan baru.”
“Encik......”
“Panggil saja saya
Kamarul. Nama encik pulak apa?” soal Kamarul pula.
“Saya Ahmad.”
Dia sudah menyambut
huluran salam lelaki di hadapannya itu dengan hati yang terbuka. Ahmad kagum dengan
insan tersebut. Kelihatannya seperti
orang baik saja. Tak mungkin orang jahat. Pakaian pun kemas saja. Wangi pula
tu. Bukan macam dirinya. Nak kata wangi pun, macam tak ada aje. Cukup saja bau sabun mandi menjadi
pewangi badan. Tak mampu nak membeli minyak wangi.
“Sibuk?”
“Kenapa Kamarul tanya?”
“Saya nak ajak pergi
satu tempat.”
“Ke mana?”
“Kalau Ahmad tak kisah,
tak ada apa-apa nak buat, apa kata ikut saya pergi minum dulu. Saya pun belum
sarapan lagi. Mungkin Ahmad boleh teman saya. Kita boleh berbual panjang. Saya
dapat kenal Ahmad lebih dekat lagi. Boleh?” pelawa Kamarul.
Ahmad hanya tersenyum.
“Tak apalah encik.
Saya...”
“Tak payahlah nak
berencik dengan saya. Kan saya dah cakap tadi. Panggil nama aje. Saya sama je
macam awak. Orang biasa. Kalau susah nak panggil saya dengan nama Kamarul tu, panggil
aje saya Rul. Senang kan?” ujar Kamarul dengan sedikit tawa di hujung katanya.
Ahmad hanya mengangguk
senang. Makin melebar senyumannya. Pandangannya tumpah pada penampilan Kamarul.
Dia membuat andaian lain. Insan itu berbeza sangat dengan dirinya. Walaupun
Kamarul mengatakan dia orang biasa, Ahmad menganggap yang sebaliknya. Pasti dari golongan berada. Penampilan Baju langsung
tidak berkedut. Licin saja struktur kain baju. Macam baru lepas di seterika saja.
“Maaflah Rul. Saya
terpaksa tolak permintaan Rul tu. Saya ada hal sikit. Mungkin lain kalilah kita
boleh minum bersama-sama. Saya minta maaf sangat sebab tak dapat ikut Rul.
Kalau saya tak ada hal, mungkin saya boleh terima pelawaan Rul tu.”
“Saya faham. Saya tak
paksa.”
“Betul ni?”
“Ya. Saya tak kisah.
Saya faham.” Kamarul masih tersenyum.
“Kalau macam tu, saya
pergi dulu ya. Takut terlambat pulak saya nanti.”
Kamarul hanya
mengangguk. Ahmad berlalu dari situ. Surat khabar metro masih di tangan. Ekoran
anak mata Kamarul masih melihat kelibat lelaki yang baru dikenalinya itu. Entah
kenapa dia merasakan hendak berkenalan dengan lebih rapat lagi dengan lelaki
itu. Diharapkan dia bertemu lagi dengan lelaki itu di masa hadapan.
“Nanti awak akan berjumpa
dengan seorang lelaki.” Ujar satu suara.
Kamarul sudah memandang
ke kanan dan kiri. Kosong!
“Siapa?”
“Seseorang yang berbeza
dengan kau. Dia dari latar belakang keluarga yang sempurna tapi ada pahitnya.”
“Aku tak faham.”
“Nanti kau akan faham.
Kau akan berjumpa dengan lelaki tu. Apabila kau berjumpa dengan lelaki itu, kau
akan menemui kebahagiaan. Kebahagiaan yang akan menceriakan hari-hari kau untuk
selama-lamanya.”
“Kebahagiaan?”
Kamarul masih terus
menerus memandang persekitarannya. Manalah tahu dia terjumpa satu kelibat
mahupun satu tubuh milik suara tersebut. Apa yang ada ialah…
Putih!
Putih!
Persekitaran yang
berlatar belakangkan warna putih. Agak silau sedikit anak mata. Kamarul masih tidak
putus asa. Dia mula mengatur langkah ke hadapan. Dia harus tahu dari mana suara
itu datang.
“Ini semua adalah
rancangan Allah. Teramat besar ganjarannya jika kau dapat terima semua tu
dengan ikhlas. Allah teramat menyayangimu.”
Masih kedengaran suara
tersebut. Kamarul semakin pelik.
Kenapa suara itu tiba-tiba
muncul?
Apa tujuannya?
Kamarul sedar dari
lamunan sekejapnya. Malam semalam dia mendapat mimpi tersebut. Tidak tahu apa
tujuan mimpi itu hadir dalam hidupnya. Takkan dia harus ambil kisah tentang
mimpi itu? Bukankah mimpi itu mainan tidur? Bingung pula. Seketika tadi, satu
lagi kejutan yang tidak disangka-sangka. Dia bertemu dengan seorang lelaki.
Di dalam mimpi itu ada
mengatakan dia akan berjumpa dengan seorang lelaki. Lelaki? Baru dia teringat. Mungkinkah
lelaki yang dimaksudkan itu adalah Ahmad? Sejak dia bertentangan mata dengan lelaki itu,
bagai ada sesuatu yang tersirat dalam kisah hidup insan tersebut. Kamarul ingin
mengetahuinya. Dirinya pun tidak tahu kenapa secara tiba-tiba dia ingin
mengetahui sejarah hidup lelaki itu. Kamarul sedikit kehairanan.
Tanda tanya!
“Adakah dia yang
dimaksudkan dalam mimpi tu?”
No comments:
Post a Comment